Thursday, May 31, 2012

......................


Suasana diruang bilik ku gelap dan hanya diterangi lampu akuarium kecil lalu aku nyalakan sebatang rokok kemudian menghisapnya. Aku diibaratkan seorang penulis lirik lagu yang cuba mencari ilham dan inspirasi di kala suasana tenang dan damai dilewat malam hari. Hujan gerimis diluar menambahkan lagi keberkatan dan rahmatnya malam ini, Khamis malam Jumaat.

"Sssssshh....Fuuuhhh...Aaaahhh..", Kelegaan dan rasa rehat setiap sendi tubuh ku ini. Seharian aku berhempas pulas di pejabat bekerja dan sekarang masa untuk aku berehat dan memulihkan organ tubuh ini. Ku pandang kiri, ku pandang kanan, ku pandang atas dan ku pandang sekeliling ruangan sudut bilik ku. Namun jauh di lubuk sanubari ini sebenarnya pilu.


Apabila malam berkunjung tiba pasti perasaan seperti ini akan berulang, berulang dan ia terus berulang. Beribu persoalan bermain di fikiranku, dan pelbagai rasa menusuk perasaan dikalbu. Terasa waktu berlalu dengan begitu singkat dan cepat sekali.

Bagaimana?
Apa akan berlaku?
Mungkinkah?

Sebulan sahaja lagi aku akan meninggalkan kehidupan ku ini, terasa waktu berlalu dengan begitu singkat dan cepat sekali. Aku tahu yang semua ini tidak kekal dan aku harus terus maju kehadapan melalui arus dan rona-rona kehidupan. Aku akan membina mahligai impian bersama orang tersayang dan berkeluarga demi menyahut Rasulullah SAW. Namun aku akui sedikit sebanyak aku rasa seperti ada perkara yang belum aku selesaikan sebelum aku berhijrah membina kehidupan baru.

Bagaimana harus aku ceritakan segala yang terkandung dihati ini, apa yang perlu aku lakukan?. Aku sudah bersedia, memang aku yang memilih untuk melalui jalan ini cuma aku rasa seperti jiwa ini seperti masih belum membayar hutang-hutang lama. Senang untuk ditakrifkan cerita ini adakah tanggungjawab aku terhadap keluarga ku ini sudah selesai?, aku masih risau dan sedih untuk meninggalkan mereka. Bolehkah mereka lalui kehidupan mereka tanpa aku disisi. Bapa yang kurang upaya, Ibu yang bekerja keras serta adik yang bakal menduduki peperiksaan SPM akhir tahun ini.

"Hmmmm...", aku nyalakan sebatang lagi rokok.

Dari raut wajah mereka kelihatan biasa dan tidak kelihatan tanda apa-apa yang aku boleh baca. Mereka gembira mendengar aku akan membina rumahtangga yang harmoni, tidakkah mereka rasa kehilangan. Adakah aku seorang sahaja yang merasakan semua ini. Adakah aku seorang yang takot dan tidak rela untuk bergerak dan memulakan langkah baru. Persoalan-persoalan ini yang sebenarnya menghantui diri ini pabila malam menjelma.

Bila difikir dan dikenang rupanya sepanjang hidup ini aku belum pernah keluar meninggalkan rumah dan keluarga, 27 tahun aku hidup bersama mereka. Sebagai contoh aku tidak merasai hidup diluar dan berasingan, belajar dan tinggal di asrama, bekerja dan menyewa diluar, dan sebagainya. Mungkin juga faktor-faktor ini yang menyumbang ke arah menjadikan aku berfikiran negatif dan ianya sering melewati aku kebelakangan ini.

Aku merupakan anak yang sulung dan tanggungjawab yang aku galas terhadap keluargaku adalah sangat besar dan utama. Oleh itu seharusnya aku harus bijak dalam membuat percaturan dan merancang segala urusan. Harapanku adalah aku berjaya mengimbangi segala kegagalan dan kekurangan yang selama ini terabai terhadap keluarga dan persekitaran. Sesungguhnya aku hanya mencari "Keberkatan terhadap keredhaannya". Amin.

Tuesday, May 15, 2012

"Barista"


Gelisah..
Resah..
Tidak Keruan..
Kiri..
Kanan..
Atas..
Bawah..

Jangan Risau, ini sebenarnya simptom ketagihan yang sedang dialami oleh diriku dikala malam menjelma. Masalah ini muncul sewaktu aku leka membaca buku atau sedang duduk bersendirian didalam bilik melayan perasaan. Apa yang aku sedar ketagihan ini mula tercetus selepas aku di belanja secawan kopi gergasi S.T.A.R.B.U.C.K.S oleh tunangku pada malam tempoh hari.

Yaa..Aku ketagihan Kopi Panas Starbuck!!!.

Macam bodoh dan tidak masuk akal untuk membuat "Posting" di Patah Hati Inc. ini berkenaan masalah ketagihan yang aku alami ini, agak remeh dan tidak menarik. Namun aku terpaksa masukkan juga untuk tatapan para pembaca yang disayangi dan mereka yang mengambil berat tentang diri yang comel ini dan mengikuti perkembanganku.

Walaupun banyak mulut-mulut diluar sana yang membantah dan memboikot produk ini dan tidak dapat dinafikan yang aku juga salah satu insan yang agak mempertahankan status dan reputasi untuk tidak menyumbang ke dana Israel untuk memusnahkan kota Palestin - katanyalah. Namun apa boleh buat, aku hanyalah insan berjiwa moden dan ingin meminum secawan kopi. Aku harap dan berdoa agar tindakan aku tidak menjejaskan mana-mana pihak.

Aku bukanlah "Kaki Kopi Mahal" sebagaimana sesetengah orang yang memerlukan kopi tersebut di ibaratkan seperti "dadah" dimana setiap hari mesti mahu perkena. Sebagai contoh orang yang aku kenali adalah Ex- CFO, TNB yakni Dato' Izzadin yang mana setiap hari harus ada "Kopi Mahal" tersebut dalam biliknya, andaikata hari itu tidak perkena memang kerja tidak Ummmp!!!. Aku tahu kerana akulah tempat bersandar dimana "Despatch Boy" pejabatnya meluahkan isi hati kerana selain menghantar surat dia turut menjadi pembeli Kopi Starbucks setiap hari. Itu zaman Abg muda-muda dululah, zaman dimana "Kuala Lumpur Tunggu Aku Cabar Kau!!!..".

Berbalik kepada cerita sebentar tadi, aku rasa yang aku pun dah terkena aura "Barista" rasanya. Jiwa rasa tidak tenang selagi tidak bersantai di Starbucks sambil menghisap sebatang curut Harvest. Harga secawan kopinya boleh tahan juga, boleh gantung diri. Menjelang perkahwinan aku yang banyak menelan belanja ini, boleh pula aku terkene simpton yang agak menggoyahkan poket seluar.

Akhir kata, duit boleh dicari tetapi saat dan waktu istimewa itu yang payah dicari. Oleh yang demikian konklusinya, aku tunggu masa kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang sudi memperlawa dan mengajak aku untuk "Chill" di Starbucks, bukan minta untuk dibelanja tetapi untuk memulakan langkah pertama menggerakkan diri ini.

P/s - Gigil-gigil mahu secawan kopi panas