Thursday, January 3, 2013

Salam 2013...

Selamat tahun baru 2013 aku ucapkan kepada semua pembaca setia Patah Hati Inc. Alhamdulilah sudah masuk tahun baru 2013 dan sekali lagi aku ingin mengucapkan tahniah kepada diri aku sendiri kerana telah berjaya mempertahankan blog kegemaran ramai ini selama hampir 5 tahun. Bermulanya revolusi nukilan dan cerita dari 2009 hingga 2013.

Melalui namanya yang agak tersendiri dan istimewa yakni "Budak Patah Hati @ Patah Hati Inc." serta aliran dan aura yang dibawanya "Real Story by" telah menjadikan blog ini sememangnya sebuah "Masterpiece" kehidupan aku dari seorang budak hingga dewasa. Aku rasa bersyukur dan gembira kerana hidup di dunia yang fana ini dipenuhi keindahan dan suasana ceria, ditemani kawan-kawan dan keluarga yang menjadi sumber kekuatan aku.

Umpama sebuah diari dan kertas nota kecil, blog ini berbakti mencatat setiap sejarah dan peristiwa yang berlaku dalam diri aku ini. Tidak kira ianya peristiwa gembira, menyedihkan, suka, duka, semangat membara, kekecewaan, harapan, pengertian dan lain-lain. Kadang-kadang kita sebagai manusia sering terlupa dengan peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan oleh itu misi terciptanya blog ini sememangnya perlu. Ditambah pula dengan pembangunan teknologi dan perkembangan arus media sosial melalui kelengkapan telefon pintar setiap individu, memudahkan lagi kerja "blogging".

Baiklah memandangkan kerusi diblog Patah Hati Inc. pun telah panas dan sesi mukadimah tahun 2013 yang agak panjang telah diceritakan maka bolehlah kiranya aku memulakan nukilan buat para pembaca yang disayangi. Assalamualaikum diucapkan, bagi memulakan cerita 2013 ini, fikir punya fikir baru terlintas difikiran apa yang hendak ditulis iaitu mengimbau kembali peristiwa-peristiwa sepanjang tahun 2012.

Tahun 2012 memang merupakan tahun yang penuh kenangan dalam hidup aku. Banyak perkara-perkara menarik yang berlaku antaranya ia merupakan tahun dimana aku telah berjaya dinaikkan pangkat dalam kerjaya di Tenaga Nasional Berhad dari seorang "Mat Despatch" kepada seorang Kerani Arang Batu. Kemudian disahkan dalam jawatan tersebut selepas tempoh percubaan selama 6 bulan.

Tahun 2012 juga merupakan tahun inspirasi kebangkitan Program R3 secara berperingkat, seperti mana yang para pembaca saksikan dalam paparan pos-pos di Patah Hati Inc. Permulaan berlaku dimana aku mula membuat pinjaman peribadi di Bank Rakyat bagi tujuan berseronok dan mencari kepuasan diri. Tahun dimana aku mula membuat hutang sehingga diusia aku ke 40 tahun baru selesai. Peristiwa ini juga boleh dikira bersejarah juga.

Pada tahun ini juga aku telah berjaya menyertai sebuah gim di bangunan sebelah pejabat aku. Harapannya memang menggunung tinggi untuk mencapai berat badan yang ideal dan menarik tetapi nampaknya hasil kurang memberansangkanlah. Almaklumlah aku ini disiplin diri agak kurang dan nafsu ku terlalu tinggi untuk dikawal. Oleh itu kontrak 12 bulan bersama gim tersebut gagal, boleh dikira hanyalah suatu usaha yang sia-sia buat diri ini. Bayaran yang agak tinggi dikenakan membuatkan aku tidak dapat menabung pada tahun ini. Rugi, rugi...

Susulan dari itu antara keindahan tahun 2012 dalam hidup aku adalah dimana aku bertemu kekasih hati dan teman sepanjang hayat ku. Aku telah berjaya memikul tanggungjawab dan mendirikan rumah tangga dengan isteri ku yang bernama Nik Nurfarizan Binti Nik Ibrahim, anak bos lama aku Dato' Nik Ibrahim. Majlis resepsi yang tidaklah terlalu gah dan hanya biasa-biasa sahaja telah dilangsungkan pada 07.07.2012 yakni 3 hari selepas tarikh hari lahirku yang ke 27 tahun Alhamdulilah akhirnya aku ke jinjang perkahwinan juga.

Selang beberapa bulan selepas majlis perkahwinan tersebut aku menerima perkhabaran yang lebih menggembirakan, dimana aku akan menjadi seorang bapa. Sungguh terharu dan bahagia rasanya apabila mengetahui isteriku mengandung. Justeru itu blog Patah Hati Inc. telah mendapat nama timangan lain iaitu Dada's Inc. sesuai dengan peredaran cerita dan konsep hidupku. Namun nama asal tidak diubah dek kerana keaslian yang sukar ditemui.

Tahun yang gemilang dan hebat ini telah aku layani dengan pertukaran "gadget" terbaru dipasaran dimana telefon pintar  Blackberry yang suatu ketika dahulu gah telah aku jual kepada rakan di pejabat dan bertukar kepada peranti baru yakni Samsung Galaxy Note 2. Dimana ia dilengkapi dengan perisian Android 4.1.2 (Jelly Bean) dan dikuat kuasakan dengan RAM 2 GB dan kepantasan 4 "Processor" aka Quadcore chip. Barulah dikatakan selari dengan peredaran zaman dan teknologi. Aku juga telah mendapat gelaran "Dr. Android" oleh rakan sepejabat kerana selalu membantu mereka menyelesaikan isu-isu berkenaan telefon pintar, tablet dan komputer.

Haaaiihhh!!!, Macam-macam...

Sebenarnya banyak lagi cerita dan peristiwa yang berlaku pada tahun 2012 yang tidak dapat aku ceritakan dek kerana terlalu banyak. Aku takut para pembaca akan merasa bosan dengan karangan yang agak panjang. Selaku blogger berpengalaman aku arif menarik minat pembaca. Oleh itu sampai disini sahaja yang dapat dikongsikan bersama, walau apa pun terima kasih diucapkan kepada anda semua. Harapan aku menjelang tahun baru ini kehidupan yang telah dirancang ini akan menjadi lebih baik berbanding tahun lalu. Selamat tahun baru 2013, dan nantikan pos-pos terbaru dari Patah Hati Inc.