Tuesday, July 22, 2014

Liabiliti Menjelang Hari Raya Aidilfitri...

Hari ini masuk hari ke 22 umat islam puasa di dalam bulan Ramadhan, terasa sekejap sahaja masa berlalu. Umat islam di Malaysia kini sedang sibuk membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Lazimnya persediaan dari segi pakaian, kuih raya dan hiasan rumah telah dibuat sebelum masuknya bulan Ramadhan atau pun diawalnya. Namun bagi persediaan pengangkutan pula biasanya dilakukan pada 2 atau 1 minggu sebelum tarikh keramat tersebut. Makanya kita sedia maklumlah yang kedai-kedai servis kereta akan sibuk dengan pelanggan yang ingin menyelenggara kenderaan mereka.

Kerja-Kerja Membuat "Alignment" R3
Aku juga tidak dapat lari dari keadaan sebegitu, R3 kesayanganku telah mula menunjukkan ragam dan membuat perangai. Alhamdulilah tahun ini syarikat tempat aku berkerja memberikan insentif atau bonus kepadaku, terasa agak lega sedikit jiwa ini dan tidaklah terasa tekanan seperti tahun-tahun sebelumnya yang mana lepas sahaja menyambut Hari Raya aku akan "Sangap".

Mekanik Sedang Membaiki...
Memang tidak dinafikan yang penggunaan R3 sejak kebelakangan ini agak ketara berbanding sebelumnya. Mana tidaknya dalam tahun ini sahaja aku telah ke ipoh, Perak untuk melawat allahyarham pakcik yang meninggal dunia, Ulang alik dari Sentul ke Banting untuk mengambil adik aku yang belajar di Matrikulasi, Banting, bercuti ke Swiss Garden Lumut, Perak, melakukan trip-trip pancingan yang ketara di sekitar Banting, Klang dan Port Klang serta penggunaan harian ulang alik dari Subang Jaya ke Sentul. Bayangkan berapa ribu kilometer dalam masa beberapa bulan sahaja. Ini sememangnya membuatkan R3 sakit dan memerlukan penyelenggaran.

Bilalah Aku Nak Merasa Masuk "Kasut" Baru...
Aku telah pergi ke bengkel kereta di kawasan Taman Dato Harun untuk membetulkan "Alignment". Taukeh kedai mengatakan bayaran untuk membuat "Alignment" bagi 4 biji tayar adalah sebanyak Rm35.00 sahaja lalu aku pun bersetuju. Didalam hatiku berjoget kegembiraan kerana dikenakan bayaran murah untuk servis kali ini, bolehlah baki selebihnya dibuat belanja raya atau pergi memancing.

Ruangan Dalam Bengkel Yang Tidak Mengamalkan "5S"
Aku duduk di dalam pejabat bahagian khas untuk  pelanggan menunggu kenderaan kerana disitu terdapat penghawa dingin. Lebih kurang 30 minit selepas selesai mekanik membuat "Alignment" seorang dari mereka datang bertemuku, "Abang aaa...U punya tayar sudah bengkak ooo, ini bukan Alignment punya hal tapi tayar sudah out" kata beliau. Aduh...apabila diperiksa memang sudah bengkak dan merbahaya jika terus digunakan, mahu atau tidak aku terpaksa menukar tayar. Ini sudah lari dari bajet kerana tayar seketul Rm190.00 lalu aku tanya kepada taukeh "Tayar 2nd hand tak ada ka taukeh?" Kata aku. "Ada u mau i ambil pasang tapi takda gerenti ooo berapa lama boleh tahan" kata taukeh tersebut. Bolehlah dari R3 jalan pun tidak sedap asyik ke kiri sahaja.

Ingat Sudah Selesai, Rupanya Ada Masalah Lain Dikesan...
Kemudian aku terpaksa menunggu lagi dalam 30 minit kerana proses penukaran tayar sedang dilakukan. Bil servis kini telah mencecah Rm125.00 yang mana telah melebihi dari bajet servis bulanan yang sepatutnya aku belanjakan, apa buat janji harapan selepas servis ini aku akan mendapat keselesaan ketika memandu dan keselamatan diri dan keluarga lebih penting. Setelah selesai membayar dan ingin pulang, mekanik yang tadi menyelenggara R3 datang berjumpa aku katanya keretaku masih tidak akan berjalan lurus dan akan kekiri sedikit kerana "Steering Moulder" pula telah rosak dan harus ditukar dan berharga Rm60.00.

Proses Penukaran "Steering Moulder"
"Ya Allah Kau Permudahkanlah Ujian Yamg Kau Berikan Ini" aku berdoa seketika agar dipermudahkan segala usaha dan kerja yang sedang dilakukan. Pada awalnya jangkaanku bajet untuk servis tidaklah sampai ke peringkat ratusan ringgit tetapi akhirnya ia berlaku juga. Aku menelefon isteriku untuk memberitahu hal sebenar dan beliau menyuruh aku untuk servis sahaja dari rasa tidak sedap ketika memandu menggangu sewaktu memandu dihari raya nanti. Akhirnya aku bersetuju dan menyuruh mekanik tersebut menukar apa yang dirasakan perlu.

Bukan soal kewangan menjadi hal cuma kadang kala kita sebagai pelanggan harus diberi penerangan dan pendedahan hal tahap kerosakan kenderaan kita daripada sedikit demi sedikit maklumat diberikan. Pelanggan boleh merasakan diri ditipu andai pengurusan kedai meneruskan layanan seperti ini. Dekat pukul 7 malam baru urusan aku dibengkel kereta selesai, alhamdulilah R3 kini rasa selesa untuk dipandu. Akhir sekali aku ingin mengucapkan "Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin" kepada semua pembaca Patah Hati Inc.