Thursday, November 14, 2013

Kasut "Custom Made" Luth Aidan...

(Jared Black)
(Rocky Boot)
Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada pembaca Dada's Inc. sekalian, pada "posting" kali Dada ingin berkongsikan perkembangan terbaru keluarga. Cuba perhatikan gambar diatas cantik atau tidak kasut tersebut? Kalau semua nak tahu itulah kasut untuk Luth Aidan yang baru ditempah khas ada terukir namanya di tapak kaki kasut tersebut.

Ini semua idea Mamalah yang "Online Shopping'  barang-barang bayi di Facebook sehingga terbeli kasut tersebut tetapi Dada ikut sahaja selagi masih mampu dan tidak terlalu mahal. Untuk maklumat pembaca semua yang berminat untuk menempah kasut yang adaa nama bayi masing-masing bolehlah berbuat demikian di facebook/Freddie.the.Frog.Malaysia. 

Kalau tidak silap Dada sepasang kasut tersebut berharga RM49.00 bagi yang ada nama dan RM39.00 bagi yang tiada nama. Oleh itu kalau anda diluar sana inginkan sesuatu yang baru untuk anak anda bolehlah berkungjung ke laman facebook yang telah dipaparkan diatas. Kasut tersebut bagi bayi yang berusia 3 bulan - 12 bulan. Sekian sahaja "posting" Dada untuk kali ini sehingga bertemu lagi sekian terima kasih.

Thursday, October 24, 2013

Outing Ke TNB Family Day Dan Genting Highlands - (19.10.2013)

Pada cuti hujung minggu yang lalu, bersamaan hari Ahad (19.10.2013) kami sekeluarga telah ke majlis sambutan Hari keluarga TNB 2013 yang berlangsung di Padang Kelab Kilat TNB. Almaklumlah kali ini Dada turun bawa keluarga sendiri. Seawal jam 7.30am Dada, Mama dan Luth telah bersiap-siap dan tiba disana untuk pendaftaran. Kali ini macam tidak semeriah tahun-tahun lalu dimana "Goodie Beg" yang diberi hanyalah 3 beg kosong yang mana hadiah serta barang-barang haruslah dimenangi sendiri di acara permainan dalam padang dibawah.

(Kami Baru Tiba Di Padang Kelab Kilat)
(Beratur Punya Panjang...Mak Ai)
Ada pro and kontranya tindakan TNB sedemikian dimana yang baiknya mereka dapat menjimatkan kos manakala yang tidak sedapnya jikalau anak kita masih kecil macam mana nak main permainan yang disediakan dan menang hadiah?, masakan ibubapa yang turun beraksi. Baiklah tanpa membuang masa dan berfikir panjang perkara pertama yang Dada buat adalah ke gerai makanan yang banyak tersedia untuk bersarapan. Perrgghh!!!, beratur panjang sampai keluar khemah, masyallah ramainya umat. Mahu tidak mahu terpaksalah beratur untuk mendapatkan makanan. Nasi lemak yang paling senang hendak dicapai, bolehlah dari tidak ada makanan. Gerai air pun boleh tahan ramai  nasib baik cepat, air nescafe pun sedap!. Konsep "Free Flow" makanlah sampai kenyang.


(Kali Ini Dada Datang Dengan Keluarga Dada Sendiri)
(Ada "MetalMan Bukit Bintang...Dada Tumpang Gambar)
Selepas perut penuh di isi, kami mula bergerak ke salam padang untuk melihat apa yang menarik. Sebelum itu singgah di gerai belon helium untuk di letak pada tenggiling si Luth. Memang banyak permainan yang ada dan setiap gerai orang beratur dalam 10-20 orang untuk mencuba permainan memang nampak gayanya pulang beg kosonglah kita. Pusing-pusing memerhatikan gelagat keluarga TNB dari awal gerai sampailah ke akhir gerai membuatkan perut Dada pun lapar balik. Sebelum keluar dari padang itu Dada terserempak dengan "Metal Man" sempatlah bergambar, nampak macam pekerja TNB juga tetapi siapa?.

(Hamper Saiz Gadang!!!...Macam Ikan Pula Sebut Gadang)
Ramai juga terserampak dengan rakan-rakan pejabat baik di TNB Fuel mahupun HQ. Mata Dada melilau juga kiri dan kanan takot-takot terjumpa ex-ex "Girlfriend" nanti teringat kenangan lama pula, nasib baik "Line Clear". Kami keluar dari padang untuk ke gerai makanan semula sambung makan lagi bagus bukan boleh main permainan dan menang hadiah pun. Makanlah Nasi Dagang, Rojak, Sangkuang, Mee Kari, Karipap. Ada yang menarik seperti kehadiran Lori Starbucks yang kurang orang berbaris untuk mencubanya tetapi patutlah rupanya kene bayar kalau tidak mahu semua serbu.

Semasa hendak berangkat pulang dengan tangan kosong tiba-tiba ada pengumuman dibuat bagi ketegori cabutan bertuah.

"80821...80821...80821"...

Perrrgghh!, nombor staf Dada naiklah tahun ini. Hati gembira bukan kepalang harap menang motorlah baru semangat sikit nak pergi kerja. Dada pun turun ke dewan untuk mengesahkan panggilan tadi dan terlihat nombor staf Dada di carta papan putih sedang dicatat oleh cai-cai Koporat Com. Banyak hadiah ada tapi tidak tahu lagi mana satu hadiah Dada, mungkin LCD ke, komputer riba ke, radio ke, Ps3 ke, hamper ke, dll. Sekali dapat hamperlah bukan main tinggi dan besar. Pada anggaran Dadalah yang biasa berurusan menganjurkan pertandingan ini, mahu dalam Rm200.00 harganya. Alhamdulilah berjaya juga menang hadiah pada hari keluarga tahun ini, ini semua rezeki Luth Aidan rasanya.


Mula Bertolak Menaiki "Genting Skyway"
(Comelnya Baby Luth Dan Mama)
Berpeluh jugalah hendak mengangkat ke kereta yang dipakir diatas bukit belakang bangunan penjanaan. Selesai semua aktiviti lalu kami pun berangkat ke rumah "Granny" di Sentul untuk membawa keluar jalan-jalan. Setibanya di  Sentul dan  bersiap-siap untuk keluar, plan asal hendak ke One Utama, Damansara telah bertukar ke Genting Highland pula. Pada mulanya Dada seperti berat mahu pergi ke sana tetapi diatas desakan dan rayuan dari Mama yang mengatakan ingin membawa Baby Luth pertama kali menjejak kaki ke Genting Highland maka plan terus bertukar. Granny pun hanya bersetuju dan seronok untuk turut sama berjalan makan angin cuma Uncle Alif sahaja yang tidak dapat turut serta kerana belajar di Matrikulasi.

(Granny Dan Baby Luth...Kenapa Muka Luth Macam Terkejut?)
(Baby Luth Pandai Buat Muka)
Lebih kurang 45 minit perjalanan memalui lebuhraya Karak dan mendaki bukit-bukit kecil sepanjang perjalanan kami pun sampai ke Stesen Genting Skyway. Turun sahaja dari kereta udara yang disedut amatlah menyegarkan. Nasib memang menyebelahi kami pada trip kali ini memandangkan cuaca yang sangat redup dan tidak terlalu panas, kabus kelihatan menebal dan hujan pula renyai-renyai menyebabkan suhu menjadi sejuk seperti dalam "Aircond". Dada terus ke kaunter tiket untuk membeli tiket pergi-balik Skyway. Sebanyak Rm36.00 bagi 3 orang dewasa dan Baby Luth pula percuma kerana ketinggian dibawah 90cm.

(Udara Segar Baru Lepas Hujan...Perrgghh!)
(Semakin Tinggi, Semakin Berkabus)
(Tidak Kelihatan Hutan Khatulistiwa)
(Uuuih, Seram Dada Bila Tiba-Tiba Kereta Kabel Berhenti Macam Ini)
Pemandangan dari gondola Skyway amatlah memberangsangkan, Dada, Mama dan Granny teruja seketika kerana tidak sangka dapat berada di sini pada hari ini. Mungkin Baby Luth masih tidak tahu apa yang berlaku tetapi apabila besar kelak, cerita Dada ini akan menjadi kenangan buat diri Baby Luth. Banyak gambar yang diambil ketika didalam gondola tersebut. Untuk pengetahuan para pembaca Dada's Inc. bagi yang belum menaiki kereta kabel Skyway ini, ia merupakan kereta kabel yang terpanjang di asia tenggara iaitu sepanjang 3.4km dan melalui panorama cantik hutan khatulistiwa tertua di dunia. (*Dada sempat Promosi Tahun Melawat Malaysia). Kabul menyelaputi pemandangan bila hampir tiba di puncak Genting. Acap kali kereta kabel yang dinaiki berhenti di pertengahan jalan dan ini  membuatkan kami kecut perut berada didalam. Ini sebenarnya perkara biasa apabila cuaca bertukar menjadi buruk seperti hujan, tiupan angin kuat, dll. Lebih kurang 15 minit didalam kereta kabel kami pun sampai ke puncak.

(Sampai Di 1st World)
(Baby Luth Sudah Sampai Genting)
Tempat pertama yang kami lakukan setibanya di Genting Highland adalah mencari tandas, biasalah sejukkan. Kemudian berjalan-jalan di dalam pusat membeli belah 1st World. Udara segar masih terasa walaupun berada didalam bangunan. Baby Luth pula tidak meragam mungkin selesa rasanya duduk dalam "Tenggiling"nya. Setelah penat menerokai tempat-tempat disana perut pun sudah mula berkeroncong menandakan sudah tiba waktu makan tengahhari. Apa yang boleh membuka selera kami adalah ingin mencari "Fast Food" kerana untuk pengetahuan anda semua, apabila berada di Genting janganlah mencuba gerai-gerai makan mamak atau kopitiam disana kerana semua harganya mahal dan hampir sama dengan kedai makanan "Fast Food" jadi adalah lebih baik makan MCD, KFC, Kenny Roger, Pizza Hut, dll. Kami memilih untuk makan di Merry Brown disebabkan makanan lain semuanya biasa didapati. Baby Luth pula ingin menyusu.

(Makan Tengah Hari Di Merrybrown, Genting Tetapi Granny Tidak Lalu)
(Posing)
Untuk pengetahuan anda semua, taman tema Genting Highland telah pun ditutup sehingga 2015. Kalau tidak silap Dadalah, Pihak pengurusan Genting akan menukar konsep taman tema mereka menjadi "20th Century Movies" seperti mana yang terdapat di Universal Studio, Singapore. Oleh sebab itu kami hanya bermain di taman tema di dalam sahajalah. Lebih kurang pukul 6pm kami semua turun dari Genting Highland, kaki Dada pun terasa sengal-sengal dan badan pun penat. Alhamdulilah trip ke Genting Highland kami berjaya dan selamat semuanya. Apa yang penting objektif tercapai yakni membawa Granny dan Baby Luth jalan-jalan makan angin walaupun tidak ada buget yang banyak. Insyallah, bulan depan kami akan ke Penang untuk makan angin dan pekene "Nasi Kandaq, Line Clear" dan Dada akan mengarang cerita baru untuk santapan pembaca Dada's Inc. Sekian sahaja assalamualaikum.

(Taman Tema Sudah Ditutup Untuk Di Tukar Konsep Kepada 20th Century Movies)

Saturday, September 21, 2013

Hari Cuti...

(Kroohh...Krohh...Kroohh...)
Hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh semua orang iaitu hari Sabtu dan Ahad dimana semua orang bercuti. Tidak kira tua atau muda, yang bersekolah atau berkerja semua mesti gembira.

Dada dan Baby Luth pun gembira dan masih tidak sedarkan diri disebabkan tidur bermimpikan yang indah-indah. Dada memang dah "Chop" mimpi berada di Tasik Kenyir memancing. Baby Luth agaknya mesti bermimpi dikerumuni ribuan "Tuuttt" untuk menyusu, hahaha...

Yang pasti Mama adalah "Morning Person" dimana pagi-pagi dah bangun tiap-tiap hari. Apa petua boleh bangun awal pun Dada tidak tahulah walhal malam tidur lewat dan susukan Baby Luth. Dada kalau dah tidur minta maaflah cakap terus "Gol" Baby Luth menangis pun Dada tidak sedar.

Habis gambar kami berdua ditangkap oleh Mama katanya comel nak di "Frame" kan. Diharap para pembaca Dada Inc. juga bergembira dihari cuti ini bersantai bersama keluarga walau belum gaji. Sekian sahaja dari Dada, "Have A Great Day!".

Friday, September 13, 2013

Tabiat Baru Si Luth Aidan...

Luth Aidan mencecah usia 3 bulan, sepanjang proses pembesaran beliau banyak perkembangan berlaku. Alhamdulilah dia seorang bayi yang sihat walafiat. Luth Aidan dah pandai meniarap dengan sediri dan bergelak ketawa dengan Dada. Ini menunjukkan sesuatu perkembangan yang positif, Dada dan Mama sangat gembira.

Terbaru yang kami perasan adalah Luth Aidan sudah pandai "Boring". Disebabkan Dada asyik dengan aktiviti pancingan seperti membaca majalah pancing dan Mama pula asyik ber "Online Shopping" maka Luth Aidan terpaksa duduk seorang diatas "Play Gym" beliau.

Sekarang bila rasa sunyi dan keseorangan Luth Aidan akan bermain dengan air liuhnya sambil meniup-niup keluar, perbuatannya sangat comel dan kelakar. Orang tua-tua mengatakan yang rambut Mama akan kerap gugur jika anak mula bermain dengan air liuhnya.

Dada dan Mama seronok melihat perkembangan Luth, rasa bahagia dan gembira dikurniakan anak yang comel dan kelakar agaknya ikut perangai Dada masa kecil dahulu. Habis air liur menyembur dimuka Dada kalau timang Luth, sangat kelakar dan comel.

Sekian sahaja "Update" terbaru dari Luth Aidan untuk diceritakan kepada pembacaDada's Inc. sehingga bertemu lagi di cerita akan datang. Sekian terima kasih.


Sunday, August 25, 2013

25 Pesanan Buat Luth Aidan

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada Allah (SWT).

02 - Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah (SWT). Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah (SWT) juga.

03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah (SWT), maka dia tawadduk kepada Allah (SWT), dia akan lebih dekat kepada Allah (SWT) dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah (SWT).

04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 - Dan selalulah berharap kepada Allah (SWT) tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah (SWT). Takutlah kepada Allah (SWT) dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah (SWT).

07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itutelah memberikan akibat yang berbahaya.

11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak iatidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati- hatilah.

17 - Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain keranaitu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan Allah (SWT) bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata- kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu,janganlah mensia siakan hartamu.

23 - Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentuakan menyesal.

24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah darimutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

-Luqmanul Hakim

Friday, August 23, 2013

Pandai Meniarap!!!...

Alhamdulilah bertemu lagi kita dalam bkog kegemaran ramai ini, diharapkan semuanya dalam keadaan sihat dan sejahtera. Mesti ramai yang ternanti-nanti "Update" terbaru Baby Luth. Baiklah, Dada akan ceritakan.
(Cubaan Pertama Mengiring...Hmm)
Syukur kehadrat Allah SWT kini usia Baby Luth mencecah 3 bulan dan dia sudah pandai meniarap dengan sendirinya. Cepat betul budak comel ini membesar. Baby Luth menyusu badan dan kuat menyusu, setiap hari 5 botol susu pasti habis nasib susu badan Mama banyak dihasilkan dan dibuat stok.
(Cubaan Kedua... Hiiaaarrgghhh!!!)
Pada 22hb Ogos 2013 yang lalu genaplah usia Baby Luth 3 bulan. Apa yang menariknya  Dada dapat saksikan sendiri dia terbalikkan badannya. Hati Ayah mana yang tidak gembira melihat perkembangan anak didepan mata.
(Yaaay...Saya Berjaya!!!)
Cuma sekarang ini bila Dada dan Mama nak tinggalkan dia pergi kerja mesti jauhkan bantal dan selimut agar tidak tertutup muka Baby Luth. Dada diap pesan dekat Tokma agar sentiasa jaga dan perhatikan Luth. Sepatutnya dah boleh hantar pergi rumah "Babysitter" tetapi Tokma masih juga nak jaga agaknya cucu kesayangan.

Akhir sekali Dada ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca Dada Inc. yang sudi meluangkan masa untuk membaca cerita Dada. Semoga berjumpa lagi dan mengikuti perkembangan budak comel ini.

Wednesday, August 7, 2013

I'm Growing...

Assalamualaikum Pembaca Setia Dada's Inc.,

Sedar tidak sedar sudah hampir 2 bulan blog Dada's Inc. ini tidak dikemaskini dan pastinya ramai pembaca diluar sana tertunggu-tunggu cerita dan posting terbaru dari Dadakan?, alhamdulilah dikesempatan ini barulah Dada berpeluang untuk bercerita dan mengemaskini blog suka ramai ini. Almaklumlah sekarang ini sibuk dengan urusan kerja dan aktiviti atau boleh dikira hobi baru Dada yakni memancing.

Pembaca Dada's Inc. Jangan lupa untuk singgah ke www.pancing2u.blogspot.com untuk mengetahui hobi dan aktiviti Dada buat masa ini ok. Banyak cerita dan post-post memancing yang menarik untuk peminat aktiviti "Hanyir" ini. Menceritakan liku-liku perjalanan hidup Dada dari seorang "Noob" sehingga ke taraf "Pro Angler".(*Sempat Promosi).

Macam mana dengan puasa anda?, ada yang dah menyambut raya?, kalau ada jangan lupa jemput Dada ya. Ibadah puasa harus diteruskan dan sekarang ini puasa pun bertiga almaklumlah sejak menjadi Dada ini. Teringat tahun lepas sahur dan berpuasa berdua sahaja. Sekarang waktu bangun sahur Baby Luth pun bersahur juga, hisap (tuuutt) maknya. Ini semua kenangan manis dalam diari hidup Dada.

Kini usia Baby Luth telah berusia 72 hari dan anggaran 2 bulan dari bulan Mei 2013 yang lalu. Macam-macam ragam yang telah berlaku dalam perjalanan hidup bergelar Dada. Bangun malam untuk menjaga anak itu biasa, bermain dan menemani Baby Luth sewaktu berada dirumah, salin pampers, mandikan Baby Luth, bawa ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan, bawa pergi berjalan-jalan dan pelbagai lagi. Kalau hendak Dada ceritakan memang lenguh tangan nak taip satu per satu apa yang berlaku sepanjang 2 bulan ini.

Antara kenangan yang boleh dianggap manis dan seram adalah sewaktu kepulangan pertama Baby Luth ke rumah kami di Subang Jaya 2 hari selepas dia dilahirkan, biasalah dia menangis tidak berhenti-henti. Dada dan mama bukan main panik lagi aduh!, puncanya sebab dia dahagakan susu dan ketika itu susu mama belum keluar dengan banyak hanya setitik dua, kesian betul mungkin baru-baru lagikan. Melihat Baby Luth menangis seharian kelaparan ditambah dengan rasa sedih Dada dan Mama, kami tiada pilihan lain selain merasuah Baby Luth dengan susu formula. Niat Mama tidak mahu memberi susu formula, tapi apakan daya kami tidak sanggup melihat Baby Luth kelaparan. Dada pun pergi ke AEON Big beli susu S26 yang mahal itu. Alhamdulilah, tiba dirumah susu dibancuh dan beri Baby Luth minum. Maka senyaplah Si Comel itu.

Lagi satu kenangan adalah ketika Baby Luth diserang sakit kuning atau Jaundis, hari-hari setiap pagi Dada akan mendukungnya dan menjemur dibawah sinaran matahari pagi. Dada bawa juga ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut dan apa yang doktor beritahu adalah normal situasi begini bagi bayi yang baru lahir. Apa yang penting adalah bayi disusukan kerap dengan memberinya susu ibu. Habis kuning mata Baby Luth dan merebak ke seluruh badan dan muka. Lenguh juga tangan Dada mengangkat Baby Luth akmaklumlah dah dekat 5 kg waktu itu. Macam-macam pertua digunakan oleh Dada dan Mama bagi meredhakan sakit kuning Baby Luth.

Baby Luth adalah bayi yang bijak dan cerdik, beliau pandai berkomunikasi dengan Dada dan Mama, malah seawal waktu dilahirkan beliau sudah membuka matanya dan fokus pada objek yang dilihatnya. Sekarang ini lagilah kelakar sebab bila dia tengok Dada sahaja mesti ketawa, aduhai, agaknya muka Dada ini memang muka "Pak Lawok". Selalu bila Dada pulang dari kerja mesti main-main dengannya dan hilang tekanan waktu kerja bila dapat melihat Baby Luth yang comel.

Baby Luth senang dijaga, dia tidaklah banyak meragam dan kalau menangis pun bila masa nak minum susu. Baru 2 bulan dah banyak "Shopping Mall" dia pergi, selalu orang tua-tua cakap bayi dah 5-6 bulan baru boleh keluar dari rumah tapi Dada bawa sahaja, tunggu dia besar sikit dah boleh bawa pergi memancing dengan Dada. Buat masa ini baru 2 suntikan kesihatan diambilnya dan Dada bawa ke Klinik biasa sahaja jumpa Doktor Paramjit Singh, dialah yang periksa Baby Luth dari dalam perut sampai sekarang dah macam doktor persendirian pula.

Alhamdulilah 07.07.2013 yang lalu berlangsung majlis Aqiqah Baby Luth di Subang Jaya. Terima kasih diucapkan pada Mama dan Tokma yang banyak "Tong" duit ekoran Dada dah kekeringan akibat banyak sangat melabur di kolam pancing. Dua ekor kambing telah dikirim pada Tok Ayah yang kebetulan pada waktu itu sedang mengerjakan umrah oleh itu kambing telah di aqiqah kepada jemaah umrah. Di Subang kami hanya buat kenduri doa selamat, Marhaban dan Cukur Jambul yang tidak berapa nak ada. Disebabkan jemputan tidak ramai dalam 200 orang, khidmat katering diperlukan. Alhamdulilah sedap lauknya tidak salah Mama pilih, bab memilih di internet dan membuat tinjauan memang Dada serah pada Mama kerana dia rajin sedikit.

Habis rambut Baby Luth ditobek-tobek oleh makcik-makcik yang buat Marhaban tadi. Malam itu Dadalah yang mencukur kepala Luth sampai jadi "Haluuuusss" menggunakan pisau cukur Dada yakni Gillette Mach 3 Turbo. Terbaik dan tiada kesan luka dikepala Baby Luth. Boleh tahan juga kutipan sumbangan yang diterima anak Dada ini dekat Rm400 juga, boleh masuk dalam tabung belajar Baby Luth nanti. Memang pilih tarikh 07.07.2013 semperna 1 tahun majlis perkahwinan Dada dan Mama, masa itu Baby Luth pun belum lahir.

Sedar tidak sedar dah hampir penghujung bulan Ramadhan, persiapan raya kali ini telah pun lengkap. baju melayu untuk Baby Luth telah pun Mama beli secara online manakala untuk Mama pun sudah siap cuma Dada sahaja tahun ini tidak membeli baju melayu kerana Rm200 yang diperuntukkan telah pun Dada beli kekili "Baitcaster" jenama terkenal iaitu Abu Garcia Black Max. Biarlah orang cakap kita beraya tahun ini guna baju lama janji hati Dada lega sebab sudah membeli barng pancing untuk sesi turun padang lepas raya ini.


Akhir kata dari saya, selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca Patah Hati Inc. dan memohon ampun dan maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki andai ada coretan Dada selama ini mengguris hati dan perasaan para pembaca sekalian. Dinasihatkan agar berhati hati ketika pulang ke kampung halaman, biar lambat asalkan selamat dan nantikan cerita terbaru lepas raya.

Wednesday, May 29, 2013

Journal Dada's Inc.

Dalam meniti arus pembangunan terkini penggunaan aplikasi-aplikasi yang terdapat di pasaran negara, Dada juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangan tersebut. Antara yang menarik dapat Dada kongsikan adalah penggunaan aplikasi dari Google Play iaitu "Happy Pregnancy" yang mana Dada rasa agak menarik untuk dicuba.

Aplikasi tersebut sesuai untuk para ibu mengandung yang masih tercari-cari antara ribuan applikasi di internet. Dada mengesyorkan penggunaan aplikasi "Happy Pregnancy" tersebut. Ia ada kelengkapan catatan journal mingguan, gambarajah bentuk bayi anda yang kian membesar, nasihat dan tip-tip untuk panduan ibu mengandung, graf pembesaran bayi, unit berat badan ibu malah yang menariknya ia juga ada forum online dimana para ibu boleh berurusan terus dgn ibu-ibu diluar sana yang menggunakan aplikasi yang sama, menarik bukan!.

Alhamdulilah Dada dah berjaya menempuh 40 minggu proses kelahiran bayi, dan dibawah ini adalah antara catatan journal yang ingin Dada kongsikan bersama pembaca Patah Hati Inc. Ini. Untuk memuat turun aplikasi tersebut anda bolehlah ke Google Play bagi pengguna Android atau AppStore bagi pengguna Iphone.

Untuk makluman, semua rekod journal Dada Inc. ini diambil dari apa yang dirasakan dan dilakukan oleh isteri Dada, Nik Nurfarizan mengikut perhatian Dada dan kelulusan dari beliau. Para suami diluar sana harus memberikan kerjasama dalam memberi sokongan moral dan tunjuk ajar kepada isteri mereka andai kata ada yang masih tidak tahu menggunakan aplikasi terkini.

Journal Dada's Inc.
------------------------

WEEK: 0-6
Blurr

My Notes: 
Tidak tahu tentang kewujudan baby dalam perut sehingga minggu yang ke 6


WEEK: 6
Happy dan bersyukur

My Notes:
Rasa bersyukur kerana ujian yang dijalankan pada "pregnancy test" positif.


WEEK: 7
Ingin Dapatkan Maklumat Lanjut

My Notes: 
Jumpa Dr. Paramjit Singh untuk 1st time.


WEEK: 8
Terkena Badi

My Notes:
Hubby yang pening dan muntah-muntah


WEEK: 9-13
Hidup Seperti biasa

My Notes:
Baby semakin membesar


WEEK: 14
Mood Down

My Notes: 
Simpton loya dan muntah masih ada lagi.


WEEK: 15
Happy

My Notes:
Feeling better.


WEEK: 16
Ok...

My Notes:
Mula tambah selera makan.


WEEK: 17
MC Dirumah

My Notes: 
Jumpa Dr. Paramjit Untuk Scan Baby. Mommy masih loya dan pening kepala sehingga terpaksa MC.


WEEK: 18
Boring Need Vacation

My Notes:
Ok laa cuma rasa mengantok dipejabat dan andai dapat tidur 10 minit dah cukup untuk menguatkan saraf.


WEEK: 19 
Happy

My Notes: 
Bigger breast and bigger tummy. Loya sudah semakin kurang.


WEEK: 20 
Its A Boy!!!...

My Notes: 
Masih ternanti-nanti baby menendang perut mama, tetapi masih belum. Ini sedikit merisaukan Dada, tapi tidak mengapa malam ini akan jumpa Doctor Paramjit. Setelah jumpa Doc. baru Dada lega baby sihat dan boy.


WEEK: 21
Ok

My Notes:
Cuba untuk masak didapur. Alhamdulilah Dada pon happy dapat makan yang mama masakkan.


WEEK: 22
Normal and Baby Start Kicking.

My Notes:
Mama start pergi kerja naik KTM komuter. Senaman sikit dan dapat jimat kos. Bila dah sarat nanti baru Dada hantar pergi kerja.


WEEK: 23
Feeling Good

My Notes:
Baby kicking average 20 time per day. Mama menghargai tendangan baby.


WEEK: 24
Happy And Enjoyed

My Notes:
Mama banyak jalan di Kelantan. Seronok agaknya dapat jumpa sanak saudara. Baby membesar tiba-tiba, terkejut dada ekoran banyak jalan.


WEEK: 25
Kicking Session

My Notes: 
Baby selalu tendang perut mama, especially masa makan mungkin baby pun rasa sedap or tak sedap.


WEEK: 26
Tired!!!...

My Notes:
Mama mula mengadu sakit-sakit kaki dan lenguh-lenguh badan. Dada terpaksa urut Mama setiap malam sebelum tidur mungkin Mama penat jalan pergi kerja dan Baby pun semakin membesar.


WEEK: 27-28
Kosong...

My Notes:
Jiwa Mama rasa kosong tanpa amalan dari agama. Dada tidak terapkan ajaran islam dalam keluarga. Mama, Baby.. Dada minta maaf, Dada kurang didikan agama bila kawin susah nak ajar. Yaa Allah bantulah hamba ku ini.


WEEK: 29
1st Official Check Up At PPUM

My Notes: 
Dada teman Mama 1/2 day sewaktu check up. Mama juga buat pap Smear check up. Pada minggu ini juga kita pergi shopping di Expo Motherhood, KLCC.


WEEK: 30
Tired

My Notes:
Malas nak pergi kerja, bigger tummy, mood swing and cannot stand head waiting plus slow walking.


WEEK: 31
4D Scanning

My Notes:
Dah boleh buat scan so buat appointment di Klinik Fauziah, Ampang dengan bayaran Rm120.00


WEEK: 32
Kerap Menendang

My Notes: 
Baby Luth semakin membesar, Mama jalan macam mula jalan macam Penguin. Alhamdulilah harap Allah beri Mama kekuatan untum ke tempat kerja dan menjalankan aktiviti harian.


WEEK: 33
Selera Makan Bertambah

My Notes: 
Apa yang Dada boleh perhatikan adalah peningkatan selera makan Mama. Bagus2 ini sesuatu yang baik untuk baby Luth


WEEK: 34
Dada Outstation

My Notes: 
Mama kesepian dan pergi check up dgn Tok Ma


WEEK: 35
Semakin Membesar

My Notes:
Selera makan bertambah.


WEEK: 36
Bermula Check Up Mingguan

My Notes:
Dada bawak Mama pergi PPUM check up, doktor cakap lepas ini setiap minggu kene Check Up. Aduyaii..


WEEK: 37
Baby Check Up 2 Kali Sehari

My Notes:
Pagi tadi dah check up di PPUM, tapi Mama dan Dada risaukan Baby Luth jadi malam itu pergi Klinik Segara jumpa Doc Paramjit untuk check up sekali lagi. Alhamdulilah semuanya dalam keadaan baik.


WEEK: 38
Yaayy Cuti...

My Notes:
Dah 38 Minggu dan Mama pun dah mula bercuti. Dada pun rasa lega kerana dapat jimatkan duit minyak dan belanja. Hari cuti ni Dada pesan pada Mama untuk kemas bilik sikit dan pergi jalan-jalan shopping.


WEEK: 39
Berat Bertambah Dan Semakin Hampir

My Notes: 
Berat Mama sekarang adalah 101.8kg. Pagi ini Dada bawa Mama pergi ke PPUM untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Anggaran berat Bahy Luth adalah sekitar 3.5KG. Dada tak sabar nak tgk Baby Luth. Alhamdulilah.


WEEK: 40
Alhamdulilah 40 Week

My Notes:
Hari ini Dada bawa Nama untuk last check up di PPUM tetapi masih tiada tanda Baby Luth akan keluar. Mungkin lewat 1-2 minggu, yang penting Dada gembira dan tetapi menunggu Baby Luth keluar. Alhamdulilah syukur akhirnya sampai juga ke 40 minggu. Dada akan jaga Baby Luth bila keluar esok. Diharap segalanya dipermudahkan. Amin.

Sekian itu sahaja journal dan diari perjalanan hidup Dada dalam mengharungi suka dan duka proses kelahiran Baby Luth Aidan. Insyaallah dimasa akan datang, Dada akan mengemaskini cerita-cerita terbaru mengenai perkembangan Baby Luth bagi santapan para pembaca. Sekian terima kasih.



(Graf Perkembangan Berat Badan Mama) 

Debaran Menanti Si Kecil (22.05.2013) - Part 2

Assalamualaikum, cerita ini adalah lanjutan dari episod 1 tentang debaran menanti Si Kecil. Dada masih meneruskan aktiviti menunggu di ruang legar hospital bersama-sama ibu Dada, adik dan sepupu sementara Mama sedang bertarung nyawa di atas menunggu. Kemudian pukul 6:30pm, Dada mendapat satu panggilan dari pihak hospital menyuruh untuk naik keatas berjumpa dengan Mama sebelum masuk ke dewan bedah.


(6:45pm Sebelum Mama Masuk "Operation Theater")

Dada sempat merakam gambar bukti Mama diusung masuk kedalam bilik bedah walaupun misi dan doktor melarang merakam sebarang gambar. Lantak merekalah janji Dada ingin simpan semua detik-detik sebagai kenangan. Selesai bersalaman dan memohon maaf, Dada sempat berpesan kepada Mama untuk menguatkan semangat dan banyakkan membaca kalimah suci "Lailla haillahu allah". Kuatkan semangat dan hati sambil tarik nafas dengan kerap, kami semua akan menunggu di bawah.


(7:07pm Baby Luth Aidan Selamat Dilahirkan)

Lebih kurang hampir 1 jam menunggu di ruang legar hospital, pihak hospital menelefon Dada dan menyampaikan berita kelahiran Baby Luth serta boleh naik ke tingkat 3 wad bersalin untuk jumpa dengan anak. Alhamdulilah, kami semua rasa sangat bersyukur dan lega kerana semuanya selamat. Mak Dada terlalu gembira lalu memberikan Dada kucupan tahniah di pipi kerana telah berjaya menjadi Ayah. Dada rasa sangat gembira dan seronok diatas kelahiran Baby Luth cuma masih risau akan keadaan Mama yang masih berada dalam bilik bedah. Jururawat masih tidak memberitahu status Mama mungkin mereka masih tidak dapat info dari doktor bedah didalam. Walau apa pun hati tetap gembira Dada sudah menjadi seorang AYAH!!!.


(Dada Sedang Meng "Azan" kan Baby Luth Aidan)

Dada terus memeluk erat dan mencium anak Dada, Alhamdulilah, Alhamdulilah, Alhamdulilah syukur diatas nikmat rezeki yang diberikan kepada Dada. Dada mendukung Baby Luth untuk mengazankannya. Memang sudah menjadi sunnah umat islam mengikut ajaran dan suruhan Nabi Muhammad S.A.W untuk seorang ayah mengazankan anaknya yang baru lahir. Selesai mengazankan Baby Luth kami semua menangkap gambar dan membelai dia dengan penuh kasih sayang. Namun jururawat tidak membenarkan kami bersama Baby Luth terlalu lama kerana beliau masih perlu mengambil suntikan-suntikan kesihatan dan perlu di bersihkan terlebih dahulu.


(Assalamualaikum Semua...)

Lebih kurang dalam pukul 10:30pm, barulah kami dapat mengetahui keadaan Mama yang sebenarnya sudah lama dimasukkan kedalam wad untuk berehat. Teruk betul pengurusan Hospital PPUM ini sepatutnya beritahulah ahli keluarga yang berada di ruang legar menunggu keputusan agar selesai semuanya, ini tidak. Disebabkan hari telah lewat malam, hanya Dada yang dibenarkan naik ke atas wad untuk bertemu Mama. Kesian Mama, terlihat di raut wajahnya yang kepenatan dan sakit. Alhamdulilah semunya telah selesai. Dada berikan kucupan tahniah dan menenangkan Mama. "Sayang  kita telah berjaya" kata Dada.


(Close Up Wajah Si Montel Ini)

Keesokkan harinya, Dada datang sekali lagi untuk melawat Mama bersama Tok Ma dan Uncle Dil di waktu melawat sesi pagi. Diwaktu melawat sesi petang pula Dada datang besama Granny, Uncle Alif, Nenek Su dan *Onyang (*Nenek Dada). Cuba tengok gambar Baby Luth yang montel diatas tersenyum. Comelnya anak Dada ini, geram rasa nak cubit dan gigit sahaja pipinya. Baru Dada perasan yang waktu Baby Luth Lahir 7:07pm sama dengan tarikh perkahwinan Dada dan Mama yakni 07hb 07 tahun 2013. Berat Baby Luth pula 4.2 kilogram, dan merupakan bayi terberat setakat hari ini.


(Biodata Saya)

Disebabkan Mama menjalani proses melahirkan anak secara LSCS (Caesarean) oleh itu doktor terpaksa menahan Mama di hospital untuk 2 hari sebelum dibenarkan pulang kerumah. Baiklah terus-terang Dada cakap yang dari segi infrastruktur hospital memang terbaik cuma dari segi servis pekerja adalah sangat teruk. Lepas ini andai kata Dada dikurniakan anak ke 2, insyallah Dada akan pergi ke hospital swasta dimana servisnya lebih baik dan mudah.

Apa-apapun semuanya selamat, dan sekarang lengkaplah proses kelahiran yang ditunggu-tunggu oleh Dada selama 9 bulan lepas. Kini tanggungjawab Dada semakin besar dan harapan Dada agar Baby Luth menjadi seorang anak yang sihat dan bijak serta membantu ibubapa dimasa hadapan. Amin. Kepada pembaca Patah Hati Inc. nantikan cerita-cerita dan perjalanan hidup Dada dalam membesarkan anak di siri akan datang. Assalamualaikum WBT. 

-Dada Inc.

Saturday, May 25, 2013

Debaran Menanti Si Kecil (22.05.2013) - Part 1

"Dan Allah telah mengeluarkan kamu daripada rahim ibu-ibu kamu dengan tidak mengetahui suatu apa pun, dan Dia telah memberikan kamu pendengaran dan penglihatan serta pengetahuan yang mungkin akan membuatkan kamu bersyukur"

Al-Nahl - Ayat 78

Kedengaran sayup-sayup orang mengangkat takbir dan azan Subuh berkumandang. Seawal pagi aku telah bangkit untuk persiapkan diri untuk melangkah ke Hospital PPUM menghantar isteriku bagi sesi temujanji "Induce" pada pukul 7.30am. Segala persiapan telah dilakukan seperti beg, pakaian, "toiletries" dan pengecas telefon untuk digunakan andai Izan dimasukkan ke dalam wad hari ini.

Turun di ruang tamu aku sungguh terharu bila mak mertua ku telah menyediakan sarapan pagi yakni cucur kodok dan keropok lekor, mahu tidak mahu makan sahaja sebagai alas perut. Selesai bersarapan kami pun ke hospital dan jalan agak sesak ekoran ramai warga kota ke tempat kerja. Selesai mendaftar di kaunter jururawat hospital berkenaan di tingkat 3, Izan terus diarahkan untuk menukar pakaian kepada pakaian persediaan sebelum ke dalam bilik bedah.

Kemudian tepat pukul 9:30am doktor bertugas telah memberikan suntikan "Induce" kali pertama kepada Izan dan dibiarkan selama dua jam. Aku dan Izan terpaksa berpisah kerana aku tidak dibenarkan untuk berada didalam wad bersalin tersebut. Prosedur kata jururawat disitu, dan andai ada kecemasan atau apa-apa perkara berlaku mereka akan menghuhungi telefon aku.

Berat rasa hati aku ingin melepaskan genggaman tangan isteriku, tiba-tiba perasaan sebak menguasai diri ini, sukar aku gambarkan situasi aku sewaktu itu. Hati aku rasa seperti pilu yang teramat sangat dan jarang sekali aku rasa demikian. Aku bukanlah seorang lelaki yang mudah mengalirkan air mata dan cepat bersedih. Sepanjang jalan turun ke lobi hospital beribu gambaran negatif yang menyinggah fikiranku, habis kusut semuanya. Betullah kata orang tua takkala situasi sebegini seeloknya kita hadir ke hospital berteman dan berkeluarga. Aku rasa seperti memerlukan teman untuk berbicara dan menguatkan semangat diri ini dari fikiran aku terus dimamah unsur negatif.

Sepatutnya seorang suami harus berada di sisi isterinya di saat ingin melahirkan anak. Hospital swasta semua sudah mengambil inisiatif positif tersebut dan melaksanakan prosedur tersebut cuma hospital dibawah kendalian kerajaan yang belum mahu berubah. Nasib badan, aku pula merancang untuk melahirkan bayi di hospital kerajaan. Terima sahajalah.

Sambung cerita kembali, aku pun terus ke pakir kereta di bahagian bawah tanah untuk mengepam oksigen kedalam paru-paru. Selesai 1-2 batang rokok aku pun mengambil keputusan untuk tidur sahaja didalam R3 menghabiskan masa selama 2 jam baru boleh bertemu Izan semula. Setelah hampir 2 jam menunggu jam telah menunjukan tepat pukul 11:30am, satu deringan yang nyaring berlaku dan rupanya jururawat memanggil ku untuk naik ke tingkat 3 dan berjumpa Izan.

Aku kesian melihat tubuh isteriku yang habis berlubang-lubang tangannya ekoran dicucuk jarum untuk dimasukkan ubat. Menurutnya selepas "Induce" yang pertama pada pukul 9:30am tadi dimasukkan "Induce" kali ke 2 akan dilakukan pada pukul 12:30pm sekejap lagi. Diharap bayi akan lahir dalam waktu berkenaan kerana andai bayi masih belum mahu keluar berkemungkinan pada 6:30pm nanti doktor akan membuat pembedahan "Ceaserian" kerana dikuatiri bayi lemas.

Memang betul "Penantian Itu Suatu Penyeksaan", andai di masa hadapan ada bakal bapa yang akan mengalami situasi sama yakni menunggu isteri bersalin di ruang legar hospital silalah bawa teman kerana dikala kita keseorangan beribu fikiran negatif akan muncul. Aku bersyukur kerana dalam masa aku memerlukan seseorang untuk memberikan kekuatan tiba-tiba ibu dan adik aku sampai, sungguh gembira bukan kepalang kerana ada ahli keluarga sudi hadir menemani ku. Sememangnya aku perlu penguat semangat ketika berhadapan situasi ini. Terima kasih Mak dan Alif kerana sudi datang teman, Bang Long menghargainya.

Walau apapun aku sekarang ini aku hanya mampu berserah kepada Allah S.W.T dan doa sentiasa agar menyelamatkan isteri dan anak ku. Buat semua pembaca Patah Hati Inc. diharap dapat membantu berdoa untuk keselamatan isteri dan anakku. Sekian sahaja cerita kali ini, insyaallah aku akan menghantar cerita-cerita terbaru.

Wad Bersalin PPUM

Sunday, April 14, 2013

Percutian Singkat Di Kondo Peranginan TNB

Setelah sekian lama menanti kini tarikh keramat yang dinanti-nanti akhirnya tiba. Pada 12.04.2013 ini aku dan keluarga sebelah aku telah menghabiskan cuti di hujung minggu ini untuk bersama-sama meluangkan masa untuk beristirehat di Kondo Peranginan TNB, Port Dickson.

Sebenarnya kondo ini aku telah mohon dalam laman web intranet TNB satu bulan yang lalu. Niat dihati ingin membawa keluarga sebelah aku melancong dan bercuti. Almaklumlah aku ini bukanlah orang yang banyak duit, ingin menempah hotel-hotel peranginan sekitarnya PD ini tidak berapa mampu, jadi aku mengambil inisiatif terbaik untuk menempah kondo TNB ini. Alhamdulilah Niat suci dan usaha aku diberkati Allah SWT. Aku telah berjaya mendapatkan kondo TNB jenis 2 bilik selama 3 hari 2 malam dengannya bayaran harga RM63.40. Murahkan?.

Kita teruskan cerita, jadi pada hari Jumaat kami semua mula bertolak dari Kuala Lumpur dan tiba di Port Dickson  pada pukul 3 petang. Selesai urusan daftar masuk di kaunter resepsi dibawah kami pun naik ke bilik, alangkah terkejutnya kerana bilik kami sangat cantik dan menarik. Seluruh ahli keluarga aku rasa sangat gembira dengan persembahan Kondo TNB.

Alhamdulilah segalanya terurus dan cantik. Adik sedara ku semua sangat gembira dan mereka semua tidak sabar untuk terjun kedalam kolam renang yang besar dan kolam renang yang lebih besar ataupun dalam bahasa saintifiknya "Laut". Stok makanan seperti Meggi Cup, Kekacang, Kuaci, Ais Krim, Jajan, Air botol dan pinggan mangkuk semua telah dibeli dari Kuala Lumpur.

Jiwaku tenang seketika setelah berehat di tepi pantai menikmati keindahan pemandangan dan deruan angin laut. Aku pun baru selesai menduduki peperiksaan akhir semester 5, sedang eloklah percutian ini ada. Cuma apa yang menyedihkan adalah Izan isteri ku tidak dapat turut sama disisi kerana dia sarat dengan kandungan. Bahaya untuk diri dan kandungannya, lagi pun dia tidak selesa katanya. Oleh itu dia hanya lepak dirumah.

Aktiviti seperti mandi kolam, jalan-jalan dipersisiran pantai dan makan malam bersama keluarga adalah aktiviti biasa yang kami lakukan sepanjang berada di Port Dickson ini. Sangat seronok dan berpuas hati. Diharap semua ini menjadi kenangan sampai mati kami semua. Kos perbelanjaan tidaklah terlalu besar kerana masing-masing turut menyumbang jadi tiada masalah kerana apa yang penting kerjasama.

Walaupun banyak aktiviti menarik yang berlaku namun aku tidak sempat untuk menceritakan kesemuanya. Insyallah kita bertemu lagi dalam cerita Patah Hati Inc. yang akan datang.

Edisi "KAKI PANCING" @ "DADA TO BE" tengoklah yang mana dulu......


Pemandangan Kolam Renang Dari Tingkat 4

Saturday, February 16, 2013

Mungkin Mereka Tidak Kenal...

"Anak-Anak Siber"...

Aku lihat jam di dinding menunjukkan tepat pukul 3.30pm, kemudian aku sambung kembali menghirup Teh Tarik panas yang baru dipesan.
Slurrrppp...

Tiba-tiba hati aku terdetik untuk mengemaskini Patah Hati Inc. Berkenaan insiden yang baru berlaku sebentar tadi. Agak lama jugak aku tidak mengemaskini blog kegemaran ramai ini. Namun disebabkan ilham datang secara tiba-tiba membuatkan jari jemari ini pantas bergerak menaip perkatan satu demi satu.

Ya, sebenarnya cuti minggu ini aku telah turun dan pulang ke rumah keluarga aku di Sentul kemudian tekak ini terasa seperti inginkan secawan teh tarik dari mamak kawasan berdekatan. Almaklumlah akukan salah seorang peminat industri Teh Tarik oleh itu wajiblah aku bersidai dikedai mamak kawasan Sentul.

Sedang aku menghirup air dengan tenang dan rilek tiba-tiba kedengaran suara riuh-rendah dengan huru-hara datang dari budak-budak flat kawasan Sentul ini masuk ke dalam restoren untuk membeli makan dan minum. Menurut perkiraan aku, adik-adik ini semua baru turun dari "Cyber Cafe" yang berada diatas restoren mamak dan setelah seharian berpenat lelah menghabiskan duit disana.

Biasalah lepak dan menghabiskan masa di "Cyber Cafe" itu adalah aktiviti rutin oleh budak-budak flat yang boleh dikira golongan minoriti dan biasa-biasa sahaja dimana berbeza dengan orang ada-ada yang mana kelengkapan internet dan komputer telah disediakan oleh ibubapa mereka dirumah oleh itu tidak perlulah untuk mereka turun ke sini.

Sebenarnya aku tertarik melihat gelagat adik-adik ini sewaktu memesan makanan di restoren mamak ini dari segi cara cakap, bahasa antara kawan-kawan, hubungan dan cara berpakai mereka. Ya Allah, memang menunjukkan mereka dari golongan yang miskin dan biasa-biasa. Gila selekeh...

Jangan salah faham, bukan niat aku untuk menghina mereka, aku juga asal seperti mereka. Aku cuma mengimbau kembali kenangan silam sewaktu dizaman kanak-kanak. Zaman telah moden oleh itu apa yang dapat kita lihat adalah budak-budak sekarang lebih mengenali perisian komputer, "game online" dan facebook berbanding konda kondi, teng-teng dan selipar tiga. Itu adalah kebenaran dan kita tidak boleh mengelak dari perubahan keadaan sekarang.

Sambung kembali cerita adik-adik tadi yang sedang sibuk memesan makanan dan ada antara mereka bersembang mengenai "game online" sewaktu bermain di "Cyber Cafe" sehingga terbawa-bawa hingga ke restoren ini. Aku hanya mendengar dari meja seberang kerancakan sembangan mereka itu sambil tangan aku menyeluk kocek untuk mengeluarkan "Galaxy Note II" untuk mengemaskini blog. Ya, benda ini budak flat tidak boleh beli lagi, harap maklum.

Nak dijadikan cerita seorang dari mereka datang sebelah meja aku dan mula berbicara dengan aku:

"Abg nak guna WiFi ker?"...
"Aah, dik"... (*malas nak layan budak-budak)
"Abg kene ada Laptop kalau nak guna WiFi"...
"Hmm, ooo yer ker HP abg nie tak boleh main internet laa macam nie?"...
"Aaah kene pakai Laptop baru boleh"...

Ekoran dari insiden perbualan yang agak bangang dengan budak-budak flat tadi, tiba-tiba kepala aku didatangi oleh beribu persoalan dan pemikiran. Hati aku mula berkata-kata apahal "bebal gila" budak-budak flat ini. Aku tertawa seorang diri dalam hati sambil tidak boleh bayangkan apa yang akan terjadi apabila dewasa kelak budak-budak flat ini. Jahanam ke atau berjaya.

Sah-sah telefon pintar aku ini adalah yang terbaik dipasaran, bilang sahaja siapa yang tidak kenal sekarang?, dimana ianya dilengkapi "Android 4.2 Jellybean" yang juga dikenali penghubung dan segalanya ditangan anda. Sudah semestinya ia boleh berfungsi dengan / tanpa  "WiFi" kerana aku ada "Data Plan Unlimited". Insiden itu yang membuatkan aku ketawa dalam hati.

"Hai dik..dik"...

Geleng kepala abang dengan kebebalan adik-adik ini, janganlah memalukan abang dik. Abang pun macam korang juga dulu lepak "Cyber Cafe" dan bergembira dengan dunia IT. Adik sekolah pun tidak habis lagi dah pandai hendak beri tunjuk ajar. Insiden ini banyak mengajar aku erti kehidupan yakni "Biar Tak Tahu Dari Buat-Buat Tahu".

Akhir kata bagi menutup cerita di Patah Hati Inc. ini aku relakan kebebalan adik tadi kerana bagi aku mereka masih mentah dan mereka sebenarnya minat dengan "gadget" ini. Semangat dunia IT mereka harus diteruskan. Adoi geleng kepala, mungkin mereka tidak kenal aku..."Dr. Andy"...

(Baru Lepas Pekene C.C)