Wednesday, August 7, 2013

I'm Growing...

Assalamualaikum Pembaca Setia Dada's Inc.,

Sedar tidak sedar sudah hampir 2 bulan blog Dada's Inc. ini tidak dikemaskini dan pastinya ramai pembaca diluar sana tertunggu-tunggu cerita dan posting terbaru dari Dadakan?, alhamdulilah dikesempatan ini barulah Dada berpeluang untuk bercerita dan mengemaskini blog suka ramai ini. Almaklumlah sekarang ini sibuk dengan urusan kerja dan aktiviti atau boleh dikira hobi baru Dada yakni memancing.

Pembaca Dada's Inc. Jangan lupa untuk singgah ke www.pancing2u.blogspot.com untuk mengetahui hobi dan aktiviti Dada buat masa ini ok. Banyak cerita dan post-post memancing yang menarik untuk peminat aktiviti "Hanyir" ini. Menceritakan liku-liku perjalanan hidup Dada dari seorang "Noob" sehingga ke taraf "Pro Angler".(*Sempat Promosi).

Macam mana dengan puasa anda?, ada yang dah menyambut raya?, kalau ada jangan lupa jemput Dada ya. Ibadah puasa harus diteruskan dan sekarang ini puasa pun bertiga almaklumlah sejak menjadi Dada ini. Teringat tahun lepas sahur dan berpuasa berdua sahaja. Sekarang waktu bangun sahur Baby Luth pun bersahur juga, hisap (tuuutt) maknya. Ini semua kenangan manis dalam diari hidup Dada.

Kini usia Baby Luth telah berusia 72 hari dan anggaran 2 bulan dari bulan Mei 2013 yang lalu. Macam-macam ragam yang telah berlaku dalam perjalanan hidup bergelar Dada. Bangun malam untuk menjaga anak itu biasa, bermain dan menemani Baby Luth sewaktu berada dirumah, salin pampers, mandikan Baby Luth, bawa ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan, bawa pergi berjalan-jalan dan pelbagai lagi. Kalau hendak Dada ceritakan memang lenguh tangan nak taip satu per satu apa yang berlaku sepanjang 2 bulan ini.

Antara kenangan yang boleh dianggap manis dan seram adalah sewaktu kepulangan pertama Baby Luth ke rumah kami di Subang Jaya 2 hari selepas dia dilahirkan, biasalah dia menangis tidak berhenti-henti. Dada dan mama bukan main panik lagi aduh!, puncanya sebab dia dahagakan susu dan ketika itu susu mama belum keluar dengan banyak hanya setitik dua, kesian betul mungkin baru-baru lagikan. Melihat Baby Luth menangis seharian kelaparan ditambah dengan rasa sedih Dada dan Mama, kami tiada pilihan lain selain merasuah Baby Luth dengan susu formula. Niat Mama tidak mahu memberi susu formula, tapi apakan daya kami tidak sanggup melihat Baby Luth kelaparan. Dada pun pergi ke AEON Big beli susu S26 yang mahal itu. Alhamdulilah, tiba dirumah susu dibancuh dan beri Baby Luth minum. Maka senyaplah Si Comel itu.

Lagi satu kenangan adalah ketika Baby Luth diserang sakit kuning atau Jaundis, hari-hari setiap pagi Dada akan mendukungnya dan menjemur dibawah sinaran matahari pagi. Dada bawa juga ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut dan apa yang doktor beritahu adalah normal situasi begini bagi bayi yang baru lahir. Apa yang penting adalah bayi disusukan kerap dengan memberinya susu ibu. Habis kuning mata Baby Luth dan merebak ke seluruh badan dan muka. Lenguh juga tangan Dada mengangkat Baby Luth akmaklumlah dah dekat 5 kg waktu itu. Macam-macam pertua digunakan oleh Dada dan Mama bagi meredhakan sakit kuning Baby Luth.

Baby Luth adalah bayi yang bijak dan cerdik, beliau pandai berkomunikasi dengan Dada dan Mama, malah seawal waktu dilahirkan beliau sudah membuka matanya dan fokus pada objek yang dilihatnya. Sekarang ini lagilah kelakar sebab bila dia tengok Dada sahaja mesti ketawa, aduhai, agaknya muka Dada ini memang muka "Pak Lawok". Selalu bila Dada pulang dari kerja mesti main-main dengannya dan hilang tekanan waktu kerja bila dapat melihat Baby Luth yang comel.

Baby Luth senang dijaga, dia tidaklah banyak meragam dan kalau menangis pun bila masa nak minum susu. Baru 2 bulan dah banyak "Shopping Mall" dia pergi, selalu orang tua-tua cakap bayi dah 5-6 bulan baru boleh keluar dari rumah tapi Dada bawa sahaja, tunggu dia besar sikit dah boleh bawa pergi memancing dengan Dada. Buat masa ini baru 2 suntikan kesihatan diambilnya dan Dada bawa ke Klinik biasa sahaja jumpa Doktor Paramjit Singh, dialah yang periksa Baby Luth dari dalam perut sampai sekarang dah macam doktor persendirian pula.

Alhamdulilah 07.07.2013 yang lalu berlangsung majlis Aqiqah Baby Luth di Subang Jaya. Terima kasih diucapkan pada Mama dan Tokma yang banyak "Tong" duit ekoran Dada dah kekeringan akibat banyak sangat melabur di kolam pancing. Dua ekor kambing telah dikirim pada Tok Ayah yang kebetulan pada waktu itu sedang mengerjakan umrah oleh itu kambing telah di aqiqah kepada jemaah umrah. Di Subang kami hanya buat kenduri doa selamat, Marhaban dan Cukur Jambul yang tidak berapa nak ada. Disebabkan jemputan tidak ramai dalam 200 orang, khidmat katering diperlukan. Alhamdulilah sedap lauknya tidak salah Mama pilih, bab memilih di internet dan membuat tinjauan memang Dada serah pada Mama kerana dia rajin sedikit.

Habis rambut Baby Luth ditobek-tobek oleh makcik-makcik yang buat Marhaban tadi. Malam itu Dadalah yang mencukur kepala Luth sampai jadi "Haluuuusss" menggunakan pisau cukur Dada yakni Gillette Mach 3 Turbo. Terbaik dan tiada kesan luka dikepala Baby Luth. Boleh tahan juga kutipan sumbangan yang diterima anak Dada ini dekat Rm400 juga, boleh masuk dalam tabung belajar Baby Luth nanti. Memang pilih tarikh 07.07.2013 semperna 1 tahun majlis perkahwinan Dada dan Mama, masa itu Baby Luth pun belum lahir.

Sedar tidak sedar dah hampir penghujung bulan Ramadhan, persiapan raya kali ini telah pun lengkap. baju melayu untuk Baby Luth telah pun Mama beli secara online manakala untuk Mama pun sudah siap cuma Dada sahaja tahun ini tidak membeli baju melayu kerana Rm200 yang diperuntukkan telah pun Dada beli kekili "Baitcaster" jenama terkenal iaitu Abu Garcia Black Max. Biarlah orang cakap kita beraya tahun ini guna baju lama janji hati Dada lega sebab sudah membeli barng pancing untuk sesi turun padang lepas raya ini.


Akhir kata dari saya, selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca Patah Hati Inc. dan memohon ampun dan maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki andai ada coretan Dada selama ini mengguris hati dan perasaan para pembaca sekalian. Dinasihatkan agar berhati hati ketika pulang ke kampung halaman, biar lambat asalkan selamat dan nantikan cerita terbaru lepas raya.

No comments:

Post a Comment