Saturday, May 25, 2013

Debaran Menanti Si Kecil (22.05.2013) - Part 1

"Dan Allah telah mengeluarkan kamu daripada rahim ibu-ibu kamu dengan tidak mengetahui suatu apa pun, dan Dia telah memberikan kamu pendengaran dan penglihatan serta pengetahuan yang mungkin akan membuatkan kamu bersyukur"

Al-Nahl - Ayat 78

Kedengaran sayup-sayup orang mengangkat takbir dan azan Subuh berkumandang. Seawal pagi aku telah bangkit untuk persiapkan diri untuk melangkah ke Hospital PPUM menghantar isteriku bagi sesi temujanji "Induce" pada pukul 7.30am. Segala persiapan telah dilakukan seperti beg, pakaian, "toiletries" dan pengecas telefon untuk digunakan andai Izan dimasukkan ke dalam wad hari ini.

Turun di ruang tamu aku sungguh terharu bila mak mertua ku telah menyediakan sarapan pagi yakni cucur kodok dan keropok lekor, mahu tidak mahu makan sahaja sebagai alas perut. Selesai bersarapan kami pun ke hospital dan jalan agak sesak ekoran ramai warga kota ke tempat kerja. Selesai mendaftar di kaunter jururawat hospital berkenaan di tingkat 3, Izan terus diarahkan untuk menukar pakaian kepada pakaian persediaan sebelum ke dalam bilik bedah.

Kemudian tepat pukul 9:30am doktor bertugas telah memberikan suntikan "Induce" kali pertama kepada Izan dan dibiarkan selama dua jam. Aku dan Izan terpaksa berpisah kerana aku tidak dibenarkan untuk berada didalam wad bersalin tersebut. Prosedur kata jururawat disitu, dan andai ada kecemasan atau apa-apa perkara berlaku mereka akan menghuhungi telefon aku.

Berat rasa hati aku ingin melepaskan genggaman tangan isteriku, tiba-tiba perasaan sebak menguasai diri ini, sukar aku gambarkan situasi aku sewaktu itu. Hati aku rasa seperti pilu yang teramat sangat dan jarang sekali aku rasa demikian. Aku bukanlah seorang lelaki yang mudah mengalirkan air mata dan cepat bersedih. Sepanjang jalan turun ke lobi hospital beribu gambaran negatif yang menyinggah fikiranku, habis kusut semuanya. Betullah kata orang tua takkala situasi sebegini seeloknya kita hadir ke hospital berteman dan berkeluarga. Aku rasa seperti memerlukan teman untuk berbicara dan menguatkan semangat diri ini dari fikiran aku terus dimamah unsur negatif.

Sepatutnya seorang suami harus berada di sisi isterinya di saat ingin melahirkan anak. Hospital swasta semua sudah mengambil inisiatif positif tersebut dan melaksanakan prosedur tersebut cuma hospital dibawah kendalian kerajaan yang belum mahu berubah. Nasib badan, aku pula merancang untuk melahirkan bayi di hospital kerajaan. Terima sahajalah.

Sambung cerita kembali, aku pun terus ke pakir kereta di bahagian bawah tanah untuk mengepam oksigen kedalam paru-paru. Selesai 1-2 batang rokok aku pun mengambil keputusan untuk tidur sahaja didalam R3 menghabiskan masa selama 2 jam baru boleh bertemu Izan semula. Setelah hampir 2 jam menunggu jam telah menunjukan tepat pukul 11:30am, satu deringan yang nyaring berlaku dan rupanya jururawat memanggil ku untuk naik ke tingkat 3 dan berjumpa Izan.

Aku kesian melihat tubuh isteriku yang habis berlubang-lubang tangannya ekoran dicucuk jarum untuk dimasukkan ubat. Menurutnya selepas "Induce" yang pertama pada pukul 9:30am tadi dimasukkan "Induce" kali ke 2 akan dilakukan pada pukul 12:30pm sekejap lagi. Diharap bayi akan lahir dalam waktu berkenaan kerana andai bayi masih belum mahu keluar berkemungkinan pada 6:30pm nanti doktor akan membuat pembedahan "Ceaserian" kerana dikuatiri bayi lemas.

Memang betul "Penantian Itu Suatu Penyeksaan", andai di masa hadapan ada bakal bapa yang akan mengalami situasi sama yakni menunggu isteri bersalin di ruang legar hospital silalah bawa teman kerana dikala kita keseorangan beribu fikiran negatif akan muncul. Aku bersyukur kerana dalam masa aku memerlukan seseorang untuk memberikan kekuatan tiba-tiba ibu dan adik aku sampai, sungguh gembira bukan kepalang kerana ada ahli keluarga sudi hadir menemani ku. Sememangnya aku perlu penguat semangat ketika berhadapan situasi ini. Terima kasih Mak dan Alif kerana sudi datang teman, Bang Long menghargainya.

Walau apapun aku sekarang ini aku hanya mampu berserah kepada Allah S.W.T dan doa sentiasa agar menyelamatkan isteri dan anak ku. Buat semua pembaca Patah Hati Inc. diharap dapat membantu berdoa untuk keselamatan isteri dan anakku. Sekian sahaja cerita kali ini, insyaallah aku akan menghantar cerita-cerita terbaru.

Wad Bersalin PPUM

No comments:

Post a Comment