Saturday, February 16, 2013

Mungkin Mereka Tidak Kenal...

"Anak-Anak Siber"...

Aku lihat jam di dinding menunjukkan tepat pukul 3.30pm, kemudian aku sambung kembali menghirup Teh Tarik panas yang baru dipesan.
Slurrrppp...

Tiba-tiba hati aku terdetik untuk mengemaskini Patah Hati Inc. Berkenaan insiden yang baru berlaku sebentar tadi. Agak lama jugak aku tidak mengemaskini blog kegemaran ramai ini. Namun disebabkan ilham datang secara tiba-tiba membuatkan jari jemari ini pantas bergerak menaip perkatan satu demi satu.

Ya, sebenarnya cuti minggu ini aku telah turun dan pulang ke rumah keluarga aku di Sentul kemudian tekak ini terasa seperti inginkan secawan teh tarik dari mamak kawasan berdekatan. Almaklumlah akukan salah seorang peminat industri Teh Tarik oleh itu wajiblah aku bersidai dikedai mamak kawasan Sentul.

Sedang aku menghirup air dengan tenang dan rilek tiba-tiba kedengaran suara riuh-rendah dengan huru-hara datang dari budak-budak flat kawasan Sentul ini masuk ke dalam restoren untuk membeli makan dan minum. Menurut perkiraan aku, adik-adik ini semua baru turun dari "Cyber Cafe" yang berada diatas restoren mamak dan setelah seharian berpenat lelah menghabiskan duit disana.

Biasalah lepak dan menghabiskan masa di "Cyber Cafe" itu adalah aktiviti rutin oleh budak-budak flat yang boleh dikira golongan minoriti dan biasa-biasa sahaja dimana berbeza dengan orang ada-ada yang mana kelengkapan internet dan komputer telah disediakan oleh ibubapa mereka dirumah oleh itu tidak perlulah untuk mereka turun ke sini.

Sebenarnya aku tertarik melihat gelagat adik-adik ini sewaktu memesan makanan di restoren mamak ini dari segi cara cakap, bahasa antara kawan-kawan, hubungan dan cara berpakai mereka. Ya Allah, memang menunjukkan mereka dari golongan yang miskin dan biasa-biasa. Gila selekeh...

Jangan salah faham, bukan niat aku untuk menghina mereka, aku juga asal seperti mereka. Aku cuma mengimbau kembali kenangan silam sewaktu dizaman kanak-kanak. Zaman telah moden oleh itu apa yang dapat kita lihat adalah budak-budak sekarang lebih mengenali perisian komputer, "game online" dan facebook berbanding konda kondi, teng-teng dan selipar tiga. Itu adalah kebenaran dan kita tidak boleh mengelak dari perubahan keadaan sekarang.

Sambung kembali cerita adik-adik tadi yang sedang sibuk memesan makanan dan ada antara mereka bersembang mengenai "game online" sewaktu bermain di "Cyber Cafe" sehingga terbawa-bawa hingga ke restoren ini. Aku hanya mendengar dari meja seberang kerancakan sembangan mereka itu sambil tangan aku menyeluk kocek untuk mengeluarkan "Galaxy Note II" untuk mengemaskini blog. Ya, benda ini budak flat tidak boleh beli lagi, harap maklum.

Nak dijadikan cerita seorang dari mereka datang sebelah meja aku dan mula berbicara dengan aku:

"Abg nak guna WiFi ker?"...
"Aah, dik"... (*malas nak layan budak-budak)
"Abg kene ada Laptop kalau nak guna WiFi"...
"Hmm, ooo yer ker HP abg nie tak boleh main internet laa macam nie?"...
"Aaah kene pakai Laptop baru boleh"...

Ekoran dari insiden perbualan yang agak bangang dengan budak-budak flat tadi, tiba-tiba kepala aku didatangi oleh beribu persoalan dan pemikiran. Hati aku mula berkata-kata apahal "bebal gila" budak-budak flat ini. Aku tertawa seorang diri dalam hati sambil tidak boleh bayangkan apa yang akan terjadi apabila dewasa kelak budak-budak flat ini. Jahanam ke atau berjaya.

Sah-sah telefon pintar aku ini adalah yang terbaik dipasaran, bilang sahaja siapa yang tidak kenal sekarang?, dimana ianya dilengkapi "Android 4.2 Jellybean" yang juga dikenali penghubung dan segalanya ditangan anda. Sudah semestinya ia boleh berfungsi dengan / tanpa  "WiFi" kerana aku ada "Data Plan Unlimited". Insiden itu yang membuatkan aku ketawa dalam hati.

"Hai dik..dik"...

Geleng kepala abang dengan kebebalan adik-adik ini, janganlah memalukan abang dik. Abang pun macam korang juga dulu lepak "Cyber Cafe" dan bergembira dengan dunia IT. Adik sekolah pun tidak habis lagi dah pandai hendak beri tunjuk ajar. Insiden ini banyak mengajar aku erti kehidupan yakni "Biar Tak Tahu Dari Buat-Buat Tahu".

Akhir kata bagi menutup cerita di Patah Hati Inc. ini aku relakan kebebalan adik tadi kerana bagi aku mereka masih mentah dan mereka sebenarnya minat dengan "gadget" ini. Semangat dunia IT mereka harus diteruskan. Adoi geleng kepala, mungkin mereka tidak kenal aku..."Dr. Andy"...

(Baru Lepas Pekene C.C)

Thursday, January 3, 2013

Salam 2013...

Selamat tahun baru 2013 aku ucapkan kepada semua pembaca setia Patah Hati Inc. Alhamdulilah sudah masuk tahun baru 2013 dan sekali lagi aku ingin mengucapkan tahniah kepada diri aku sendiri kerana telah berjaya mempertahankan blog kegemaran ramai ini selama hampir 5 tahun. Bermulanya revolusi nukilan dan cerita dari 2009 hingga 2013.

Melalui namanya yang agak tersendiri dan istimewa yakni "Budak Patah Hati @ Patah Hati Inc." serta aliran dan aura yang dibawanya "Real Story by" telah menjadikan blog ini sememangnya sebuah "Masterpiece" kehidupan aku dari seorang budak hingga dewasa. Aku rasa bersyukur dan gembira kerana hidup di dunia yang fana ini dipenuhi keindahan dan suasana ceria, ditemani kawan-kawan dan keluarga yang menjadi sumber kekuatan aku.

Umpama sebuah diari dan kertas nota kecil, blog ini berbakti mencatat setiap sejarah dan peristiwa yang berlaku dalam diri aku ini. Tidak kira ianya peristiwa gembira, menyedihkan, suka, duka, semangat membara, kekecewaan, harapan, pengertian dan lain-lain. Kadang-kadang kita sebagai manusia sering terlupa dengan peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan oleh itu misi terciptanya blog ini sememangnya perlu. Ditambah pula dengan pembangunan teknologi dan perkembangan arus media sosial melalui kelengkapan telefon pintar setiap individu, memudahkan lagi kerja "blogging".

Baiklah memandangkan kerusi diblog Patah Hati Inc. pun telah panas dan sesi mukadimah tahun 2013 yang agak panjang telah diceritakan maka bolehlah kiranya aku memulakan nukilan buat para pembaca yang disayangi. Assalamualaikum diucapkan, bagi memulakan cerita 2013 ini, fikir punya fikir baru terlintas difikiran apa yang hendak ditulis iaitu mengimbau kembali peristiwa-peristiwa sepanjang tahun 2012.

Tahun 2012 memang merupakan tahun yang penuh kenangan dalam hidup aku. Banyak perkara-perkara menarik yang berlaku antaranya ia merupakan tahun dimana aku telah berjaya dinaikkan pangkat dalam kerjaya di Tenaga Nasional Berhad dari seorang "Mat Despatch" kepada seorang Kerani Arang Batu. Kemudian disahkan dalam jawatan tersebut selepas tempoh percubaan selama 6 bulan.

Tahun 2012 juga merupakan tahun inspirasi kebangkitan Program R3 secara berperingkat, seperti mana yang para pembaca saksikan dalam paparan pos-pos di Patah Hati Inc. Permulaan berlaku dimana aku mula membuat pinjaman peribadi di Bank Rakyat bagi tujuan berseronok dan mencari kepuasan diri. Tahun dimana aku mula membuat hutang sehingga diusia aku ke 40 tahun baru selesai. Peristiwa ini juga boleh dikira bersejarah juga.

Pada tahun ini juga aku telah berjaya menyertai sebuah gim di bangunan sebelah pejabat aku. Harapannya memang menggunung tinggi untuk mencapai berat badan yang ideal dan menarik tetapi nampaknya hasil kurang memberansangkanlah. Almaklumlah aku ini disiplin diri agak kurang dan nafsu ku terlalu tinggi untuk dikawal. Oleh itu kontrak 12 bulan bersama gim tersebut gagal, boleh dikira hanyalah suatu usaha yang sia-sia buat diri ini. Bayaran yang agak tinggi dikenakan membuatkan aku tidak dapat menabung pada tahun ini. Rugi, rugi...

Susulan dari itu antara keindahan tahun 2012 dalam hidup aku adalah dimana aku bertemu kekasih hati dan teman sepanjang hayat ku. Aku telah berjaya memikul tanggungjawab dan mendirikan rumah tangga dengan isteri ku yang bernama Nik Nurfarizan Binti Nik Ibrahim, anak bos lama aku Dato' Nik Ibrahim. Majlis resepsi yang tidaklah terlalu gah dan hanya biasa-biasa sahaja telah dilangsungkan pada 07.07.2012 yakni 3 hari selepas tarikh hari lahirku yang ke 27 tahun Alhamdulilah akhirnya aku ke jinjang perkahwinan juga.

Selang beberapa bulan selepas majlis perkahwinan tersebut aku menerima perkhabaran yang lebih menggembirakan, dimana aku akan menjadi seorang bapa. Sungguh terharu dan bahagia rasanya apabila mengetahui isteriku mengandung. Justeru itu blog Patah Hati Inc. telah mendapat nama timangan lain iaitu Dada's Inc. sesuai dengan peredaran cerita dan konsep hidupku. Namun nama asal tidak diubah dek kerana keaslian yang sukar ditemui.

Tahun yang gemilang dan hebat ini telah aku layani dengan pertukaran "gadget" terbaru dipasaran dimana telefon pintar  Blackberry yang suatu ketika dahulu gah telah aku jual kepada rakan di pejabat dan bertukar kepada peranti baru yakni Samsung Galaxy Note 2. Dimana ia dilengkapi dengan perisian Android 4.1.2 (Jelly Bean) dan dikuat kuasakan dengan RAM 2 GB dan kepantasan 4 "Processor" aka Quadcore chip. Barulah dikatakan selari dengan peredaran zaman dan teknologi. Aku juga telah mendapat gelaran "Dr. Android" oleh rakan sepejabat kerana selalu membantu mereka menyelesaikan isu-isu berkenaan telefon pintar, tablet dan komputer.

Haaaiihhh!!!, Macam-macam...

Sebenarnya banyak lagi cerita dan peristiwa yang berlaku pada tahun 2012 yang tidak dapat aku ceritakan dek kerana terlalu banyak. Aku takut para pembaca akan merasa bosan dengan karangan yang agak panjang. Selaku blogger berpengalaman aku arif menarik minat pembaca. Oleh itu sampai disini sahaja yang dapat dikongsikan bersama, walau apa pun terima kasih diucapkan kepada anda semua. Harapan aku menjelang tahun baru ini kehidupan yang telah dirancang ini akan menjadi lebih baik berbanding tahun lalu. Selamat tahun baru 2013, dan nantikan pos-pos terbaru dari Patah Hati Inc.

Monday, December 24, 2012

Race Rally Research (R3) - Part 6

"The CamPro engine is the first automotive engine developed together with Lotus by the Malaysian carmaker, Proton. The name CamPro is short for Cam Profiling..."

-Arish R3-

Sedikit maklumat untuk dikongsikan bersama para pembaca Patah Hati Inc. mengenai enjin pertama ciptaan negara Malaysia. Kita masih muda dalam industri ini namun tiada yang mustahil jika kita bersatu dan terus kehadapan. Ditambah pula dengan sokongan dari rakyat, insya-allah kita pasti berjaya.

Hari ini sebenarnya aku malas berkerja dipejabat siang tadi. Sempat siapkan serba sedikit hal kerja kemudian macam biasa aku belek-belek Galaxy Note 2 aku. Kepala sebenarnya sejak kebelakangan ini ada pada R3 aku sahaja. Jadi sebelum waktu makan tengah hari tadi aku cabut sekejap ke bengkel kereta kawasan PJ8 bagi tujuan servis R3. Servis utama untuk kali yang ke-2 tahun ini. Kuat juga aku berjalan dan bergerak menggunakan R3, ini mesti masa nak mengorat awek zaman bujang-bujang dulu.

Dalam pukul 11.30am aku dan kawan aku Si Toby (bukan nama sebenar) keluar pejabat, lantak dan tidak menghiraukan bos dipejabat. Terpaksa kerana masa sesuai tiada sebab esok sudah cuti Krismas oleh itu aku harus servis sekarang. Terima kasih ditujukan buat Toby kerana berjaya menunjukkan bengkel kereta yang agak murah dan cepat kerja yang dilakukan. Untuk Servis utama kali ini hanya bermodalkan Rm282.00 sahaja, untung bukan berbeza dengan kali pertama buat di Sentul dulu Rm476.00.

Separuh harga aku sudah dapat jimat hari ini. Alhamdulilah syukur, duit lebih ini bolehlah aku beli kasut "Croc" asli kat Subang Parade esok. Sebenarnya aku peruntukkan Rm500.00 untuk belanja servis ini tapi memandangkan dah dapat jimat maka bolehlah beli barang lain pula. Mesti para pembaca tertanya-tanya macam mana teknik untuk menjimatkan perbelanjaan bagi tujuan servis kereta yang boleh mencecah ratusan ringgit. Baiklah aku akan terangkan diperenggan dibawah.

Pertama, selalunya kita akan servis dipusat servis rasmi kereta kita. Oleh itu sikap tersebut boleh dibuang jauh-jauh kerana banyak lagi pusat servis kereta persendirian diluar sana yang baik cuma mungkin kedai dia tidak berapa cantik dan teratur tapi servis dia boleh jadi "Tip Top", kalau tidak itu anda tanggung sendirilah yaa. Nasib badan.

Kedua, beli barang-barang yang hendak ditukar sebagai contoh Minyak hitam, Minyak gear, Minyak brek, Minyak setereng, Plug, Penapis angin, Coolant dan sebagainya yang perlu bagi servis utama di kedai menjual "Spare part" yakni kedai dimana mereka hanya menjual barang-barang keperluan kereta sahaja tanpa membuat servis keatas kereta anda. Pembelian sebegini dapat menjimatkan duit disamping harga barang tersebut tidak menjadi mahal dan lebih dalam Rm10-Rm20 tambahan.

Ketiga, setelah semua lengkap Kemudian bawa barang-barang tersebut ke kedai servis kereta lain. Dikedai inilah kita akan minta tolong mereka servis kereta kita bersama barang-barang yang telah dibeli tadi. Jadi kiranya kita hanya perlu membayar upah mereka iaitu upah tukar sahaja tanpa bayaran tambahan barangan. Upah selalunya sekitar Rm30.00-Rm 40.00, jimat bukan?, kalau di pusat servis rasanya mereka akan cas bil yang tinggi bagi upah tukar.

Baiklah sambung kembali cerita servis R3 aku, setelah semuanya selesai aku pun dengan tenang dan senang hati terus menuju ke restoren Syed, Pj untuk perkena nasi Bukhara Syed yang hebat bersama Toby bagi makan tengah hari. Selesai makan perut pun kenyang, kami telah sepakat untuk membuat tinjauan ke kedai eksesori Brother's di kawasan Klang Lama, PJ.

Almaklumlah bonus 2012 telah dapat warga TNB semua penuh di kedai eksesori tersebut. Kiri biru, kanan biru, atas biru bawah biru dan pendek kata semuanya orang TNB. Cabutlah baju kerja itu dulu kalau hendak membeli belah masa kerja pun. Ada antara mereka disini untuk servis dan ada pula hanya untuk lepas geram tengok-tengok barang-barang  kereta macam aku dan Toby. Hendak dijadikan cerita aku terjerat dek ekoran eksesori "D.A.D Interior" untuk R3 aku. Melayang Rm151.00 buat beli set tersebut. Materialnya  dibuat dari "Pure Leather" bertatahkan corak moden dan warna merah hitam garang cukup membuatkan aku jatuh cinta untuk kali ke-2 dalam hidup aku.

Hendak buat macam mana aku juga lelaki dan aku juga punyai nafsu untuk solek kereta aku. Apa lagi terus sarung satu set untuk perhiasan R3, selesai kami tengok barang di bahagian perhiasan kereta kami terus ke tingkat bawah untuk eksesori "LCD Double Dinn" 7 inci. Boleh tahan harganya dekat Rm1000+++ kalau mahu. Boleh lari bajet kami untuk masuk "Spot Rim" oleh itu terpaksa tunda dulu kerana banyak benda yang lebih perlu.

Memandangkan masa masih panjang sebab ponteng dan lari dari kerja, oleh itu kami rilek dan tenang sambil tengok-tengok barang-barang kereta lagi. Sesi mencuci mata yang agak lama dari normal. Barang tidak adalah banyak sangat yang dibelinya. Akhirnya kami buat keputusan untuk mencari "LCD Double Dinn" ditempat lain kerana di Brother's ini harganya agak tinggi dan tidak munasabah. Peranti Kenwood, Sony, Apexi dan lain-lain sangat mahal, Mudah.com pun tidak macam ini.

Sampai sini sahaja sesi kami tapi aku sempat menyambar set hiasan D.A.D R3 aku, para pembaca boleh lihat gambarnya dibawah. Sebarang komen boleh berikan dalam kotak blog ini. Sekian terima kasih.

"Posan Pakcik kek ekau jang...kalu nak komen keto oghang, ekau tengok dolu keto ekau tue dah buek ko bolum jang, ensem cam keto Pakcik tak..."

"D.A.D" Persona Leather Interior Set

Monday, November 19, 2012

1st Day At Work

"1st Day At Work"?, sebenarnya bukan Dada yang hari pertama pergi kerja tetapi Mama yang melapor diri di tempat kerja barunya di LeapEd Sdn. Bhd. sebagai pegawai penterjermah. Kalau Dada dah lama kerja, nak tahu berapa lama?, hmm...adalah 2896 hari berkhidmat di TNB, banyak hari dan lamakan. Kalau ada anak dah masuk darjah dua.

Berbalik kepada cerita Mama tadi, hari ini dalam sejarah Dada bangun awal dipagi hari mandi air sejuk yang amat menyegarkan badan dan bersiap-siap. Selesai solat Subuh turun kebawah untuk bersarapan bersama Mama. Sarapan telah di sediakan oleh Nenek yakni telur "Scramble" dan roti "Wholemeal" Gardenia sebab dia puasa alang-alang dia tolong masak sekali time nak bersahur.

Dalam pukul 6.30am kami bertolak keluar rumah dimana cuaca masih gelak gelita hanya diterangi lampu jalan. Suasana dipagi hari amat menyegarkan udara segar dan embun pagi yang mendamaikan membuatkan hati semakin bersemangat untuk ketempat kerja. Selepas salam dengan nenek maka perjalanan pun bermula. Nenek pesan jangan lupa baca doa.

Jalan raya masih kosong dan ramai pengguna masih tidur rasanya. Melalui lebuhraya persekutuan sehingga Sunway kendian masuk ke lebuhraya NPE juga masih tenang tanpa trafik. Lebih kurang 15 minit kami sampai ke destinasi yakni Mercu UEM, KL Sentral tempat kerja baru Mama. Agaknya masih terlalu awal rasanya kami sampai. Nak buat macam mana nanti kalau lambat susah pula KL trafik macam "Gampang".

Ini bahagian paling "Syiok" lepas salam dan (tuutt...18sx sahaja), Dada pun turunkan Mama di lobi bangunan tersebut. Dada rasa gembira dapat menunaikan tanggungjawab seorang suami dengan menghantar isteri ke tempat kerjanya. Selamat jalan Mama nanti jumpa petang nanti. Dada pun mula bergerak ke tempat kerja Dada di TNBF, Petaling Jaya.

Trafik masih dalam keadaan terkawal dan masih tidak kelihatan ombak kenderaan di lebuhraya persekutuan. Apabila Mama dah turun R3 boleh laa Dada bakar rokok dalam R3 dan inilah saat yang paling dinanti-nantikan sambil menikmati udara segar dan jalanraya yang kosong sambil menghembuskan asap rokok dan nikotin mula mengalir dalam darah, ini menambahkan keceriaan dalam meniti hari yang panjang sebentar nanti. Dalam pukul 7.00am Dada sampai di pakir Ranjeni Khan @ Dr. Parking area ofis Dada. Bayar Rm6.00 sahaja dan boleh keluar masuk ikut suka. Tuntutan pakir boleh dibuat akhir bulan dan ini menyedihkan bagi golongan yang tidak berapa nak mampu macam Dada.

Walau bagaimana pun hati Dada tetap bersyukur kerana kini Mama sudah berkerja. Dada doakan Mama akan terus berkerja dan berjaya dalam kariernya sebagai seorang penterjermah. Semoga dia selesa dengan kerja barunya dan berjaya memiliki apa yang dihajatinya kerana harapkan Dada apa yang Dada mampu beri selain setia dan kasih sayang. Kerjalah wahai adinda agar impianmu tercapai, kakanda akan menyokong dan mendoakan kesejahteraanmu.

Masa nak masuk ofis masih panjang lagi iaitu 8.30am sebab Dada ambil waktu "Stagged" oleh itu tenang dan rilek serta tidak perlu terburu-buru. Melangkah laju ke Tajima Kopitiam untuk menukar syiling-syiling baru almaklumlah dah saat kritikal begini tabung menjadi mangsa bagi menampung perbelanjaan harian. Mama dah kerja ini bolehlah membantu Dada sedikit. Tidak sakit dan terasa juga. Dada sempat ke warung nasi lemak tidak sedap makcik depan pagar ofis untuk membeli meehun goreng tidak sedap beliau, apa boleh buat tiada pilihan mahu tidak mahu terpaksa beli hasil jualan tidak sedap makcik tersebut. Bila dia hendak mati dan kecewa kerana jual nasi lemak tidak sedap pun Dada tidak tahu. Itulah dia Makcik yang macam hendak makan penyepak.

Sampai pejabat seperti biasa, ramai rakan kerja belum tiba cuma yang datang awal macam terkejut dengan kehadiran Dada hari ini. Ada yang memuji dan ada yang kagum. Dada hanya mampu menjawab soalan mereka dengan berkata "Azam baru semperna Maal Hijrah". Kawan-kawan Dada ini macam tidak pernah lihat Dada diawal pagi pula, almaklumlah Dadakan seorang yang disiplin masuk kerja tepat jam 8.30am dan balik lewat. Mungkin perkara tersebut amat pelik bagi mereka, selalu Dada di cap sebagai manusia yang paling lewat datang ke tempat kerja tetapi kali ini awal pula. Jangan risau kawan-kawan, perkara ini akan sering berlaku kerana Dada sekarang ada tanggungjawab untuk menghantar Mama ke tempat kerja. Kehadiran awal ke tempat kerja akan memulihkan reputasi dan nama baik Dada pada masa akan datang. Alhamdulillah, ini dikatakan suatu pembaharuan dalam kehidupan ini.

Baiklah sekian sahaja cerita Dada untuk Patah Hati Inc. kali ini semoga ada cerita baru dimasa akan datang untuk santapan para pembaca setia. Masa masih panjang sehingga sempat untuk mengemaskini Blog kegemaran ramai ini.

Sekian wassalam.

Sunday, November 11, 2012

Race Rally Research (R3) - Part 5


Akhirnya detik yang digeruni menjelma juga dalam epik kehidupan seorang "drifter" yang agak disegani ramai iaitu aku. Detik tersebut adalah proses penukaran tayar R3. Sepanjang karier aku sebagai pemandu dan juga seorang "Dada To Be" yang memilik jentera yang gah di jalan raya harus menerima penetapan takdir tayar koyak dikala saat kritikal. Bagi ku ianya normal dan aku seharusnya menerima dengan tabah.

(R3 Yang Cedera Menggunakan Rim Bantuan)
Agak lama juga aku berjaya tangguhkan waktu dan apabila dihitung hampir 4 tahun baru aku menjalani proses penukaran tayar. Oleh itu kali ini aku tidak akan teragak-agak untuk menukarnya. Kira agak handal juga aku menjaga dan memelihara usia tayar dan keadaannya sebelum ini. Bukannya harga yang memeningkan kepalaku kerana ianya tidak menjadi masalah. Cuma apa yang bermain di kepala aku sekarang adalah perlukah aku menukar tayar sekali menaik taraf memakai "Sport Rim", perlukah?. Sememangnya niat dihati ingin menyarungkan kaki baru pada R3 kesayanganku ini dan telah diperuntukkan "budget". Cuma apa yang menggangu perancangan aku adalah masa dan saat perlu penukarannya.

(Falken 195/60 R15)
Sekarang tayarku telah koyak dan memerlukan penukaran segera. Mahu tidak mahu aku terpaksa menukar tayar tersebut takut akan merbahayakan nyawa aku dan keluarga. Ini secara tidak langsung telah mengganggu proses dan misi menaik taraf R3. Oleh itu aku harus merangka strategi baru. Kesimpulannya apa yang termampu difikirkan sekarang adalah hanya menukar tayar dahulu kemudian tiba akhir tahun sarungkan "Sport Rim" baru.

Baiklah kembali ke cerita menukar tayar tadi, aku telah ke bengkel Cina di kawasan Kg. Medan, tempat pergaduhan kaum suatu ketika dahulu namun kini sudah aman. Aku telah memilih untuk menyarungkan tayar jenis Falken 195/60 R15, buatan negara Indonesia dengan harga Rm190.00 sebijik dan jika didarab dua dah menjadi Rm380.00. Siap pasang sekali "Alignment" dan "Balacing" maka bil dibuka Rm400.00. Untuk pengetahuan adik-adik diluar sana tayar kalau nak diganti harus digantikan kedua-duanya sekali, tidak boleh ganti satu. Fuh!!!...kalau makan ayam golek pun dah tentu kenyang.

(Mekanik Sedang Menggunakan Mesin Mencabut Tayar)
Proses penukarannya pun agak lama dikedai ini, isteri aku dirumah sudah sibuk bertanyakan keadaanku. Bukan apa aku janji dengannya untuk membawanya keluar makan Yong Tau Foo malam ini. Sudahlah dari pagi aku tiada dirumah kerana membantu rakan pejabat kerja lebih masa mengemas bilik mesyuarat. Harap cepatlah mekanik ini buat kerja, kesian isteri ku rindu kepulangan ku.

Kembali kepada cerita tadi, sebenarnya dalam minggu lepas aku ada "deal" dengan kawan pejabat untuk membeli tayar dan "Sport Rim" keretanya dengan harga Rm500.00, aku fikir dapatlah kiranya aku berjimat dgn memakai barang "2nd Hand", sekali aku rasa macam bangang pula dan tidak kene gaya seorang "drifter". Hmm...Lebih baik pakai baru bukan tidak mampu. Tentang "Sport Rim" akhir tahun aku masuk. Tentang kawan aku, lantak dialah.

(Proses "Alignment & Balancing")
Baiklah, lebih kurang 1 jam masa berlalu R3 pun sudah siap. Setelah melangsaikan bayaran dikaunter didalam bengkal tersebut maka aku pun boleh beredar dari situ dan dengan ini sampai sini sahajalah cerita aku bagi proses modifikasi R3 untuk peringkat ke-5 ini. Tetapi jangan risau Patah Hati Inc. akan di kemaskini lagi untuk para pembaca mungkin pada akhir tahun nanti insyallah, mengupas isu lanjut berkenaan strategi dan perancangan menarik yang telah disediakan bagi jentera kesayangan aku ini. Sekarang aku mahu pulang dan berehat-rehat. Sekian wassalam.