Tuesday, August 7, 2012

"151 Spectrum" ZIPPO


Alhamdulilah, ku panjatkan doa kepada yang maha esa kerana memberiku kesempatan untuk menulis dan menyambung ceritaku di laman Patah Hati Inc. yang digemari ramai ini. Agak lama juga aku tidak mengemaskini cerita dan nukilan diblog ini ekoran urusan peribadi yang sibuk. Namun demikian tidak bererti nama "Budak Patah Hati " akan terus berkubur di arena blog ini cuma bergantung kepada keluangan masa yang ada, almaklumlah kini statusku sudah berubah dari seorang teruna kepada seorang suami mithali.

Banyak juga cerita-cerita yang tidak sempat aku karang dan masukkan kedalam blog ini namun aku akan cuba menyampaikan kepada pembaca yang setia andai ada masa terluang. Baiklah hari ini genap 1 bulan aku mendirikan rumahtangga dengan insan yang aku cintai, Nik Nurfarizan Binti Nik Ibrahim. Alhamdulilah kehidupan kami berjalan dengan lancar. Aku masih dalam proses pembelajaran dalam mengharungi liku-liku berumahtangga seperti insan biasa diatas muka bumi ini. Aku tahu perjalanan ku dalam arus kehidupan sebagai seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan kepada keluarganya masih baru umpama "Pucuk Muda". Masih banyak rintangan dan dugaan yang akan aku harus tempuhi. Namun berkat kesabaran dan keimanan berlandaskan sunnah nabi insyallah aku akan berjaya. Amin.

Hari ini genap 1 bulan aku berkahwin dan telah 17 hari umat islam berpuasa dibulan Ramadhan. Tahun ini aku nekad untuk melupakan segala kenangan lama dan segala perkara buruk yang telah aku lakukan pada Ramadhan yang lalu. Aku ingin berubah. Walaupun badan ini terasa sangat meletihkan dan kesangapan yang dilalui ekoran kekurangan Nikotin dalam badan namun aku teruskan juga. Alhamdulilah, kini 17 hari aku berjaya menegakkan rukun islam ke 3.

Hari berlalu seperti biasa, tadi apabila aku pulang ke rumah, aku disambut dengan seraut wajah yang sangat cantik dan manis iaitu wajah isteriku, Aahhh...lega bila memandang wajah tersebut berdiri dimuka pintu menyambut kepulanganku. Selesai bersalaman kami kedalam bilik lalu turun bersiap sedia untuk berbuka puasa bersama. Setelah masuk waktu Maghrib, kami pun berbuka dengan lauk pauk yang telah disediakan oleh isteriku. Seperti biasa kami akan bertukar-tukar cerita tentang apa yang telah berlaku semasa kami berjauhan terpisah, Seorang di Subang dan seorang lagi di Petaling Jaya sambil menjamah makanan bersama.

Selesai berbuka, kami bersama-sama keluar berjalan-jalan di Sunway Piramid untuk membeli belah bagi persiapan raya yang bakal tiba. Setibanya disana isteriku membuat kejutan untuk membelikan aku hadiah semperna ulang tahun perkahwinan kami selama 1 bulan. Aku pun tidak tahu sebenarnya apa yang ingin aku beli, kemudian dia memberikan ide untuk membelikan aku sebuah ZIPPO. Aku seperti tidak bercaya dan agak gembira sebenarnya, manakan tidak apa yang telah merasuk kedalam fikirannya sehingga ingin menyokong pembangunan tembakau, Malaysia. Puas aku bertanya kepadanya, jawabannya hanyalah sebab ZIPPO itu cantik dan ianya tahan lama. Aku hanya mengiakan dan mengangguk kepala tanda setuju.

Pilih punya pilih lalu aku membuat keputusan untuk mengambil model "151 Spectrum" yang warnanya agak kepelangian dan menarik. Badan Krum yang tahan lasak serta penyalaan yang agak sempurna membuatkan aku lebih tertarik untuk memilikinya. Terdapat banyak jenis ZIPPO yang menarik sehingga menyebabkan aku menjadi rambang mata. Tapi apa yang penting bukanlah bentuk dan rupa mahupun harganya, yang penting adalah rasa terharu dan sayang aku kepada isteriku yang sudi membelikan hadiah buat diri ini. Terima kasih sayang!!!.


Sekian sahaja nukilan yang dapat aku sampaikan diruangan Patah Hati Inc. setakat ini, semoga kita berjumpa dilain masa dan ketika. Yang pasti akan ada cerita-cerita hasil karya dari aku buat santapan para pembaca yang menyokong dan sudi membaca blog ini. Terima kasih.


No comments:

Post a Comment