Sunday, August 19, 2012

Syawal Dan Gadis Palsu...


Fuuuuuuhhhh~

Sedutan asap ku tarik dalam sambil mata merenung jauh ke luar pagar dan kawasan sekitar halaman rumah nenek ku. Rintik hujan yang jatuh ke bumi ditambah dengan tiupan sang bayu yang amat menyegarkan badan dan mententeramkan jiwa membuatkan fikiran ku melayang jauh~

Allahu akbar..
Allahu akbar..
Allahu akbar..
Laailah haillaallahu allahu akbar..
Allahu akbar kabiraw illham..

Takbir bergema menusuk rongga telinga dipagi hari, setelah selesai aku dan isteriku mandi sunat Aidilfitri yang menjadi tuntutan ibadah lalu kami terus ke Masjid Darul Ehsan, Sek 15 Subang Jaya untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Hari ini telah masuk bulan Syawal didalam kalendar islam menandakan tibanya hari yang dinanti-nantikan umat islam seluruh dunia yakni menyambut Aidilfitri. Alhamdulilah, selesai aku menunaikan solat sunat Aidilfitir tahun ini bersama seorang isteri. Kemudian kami pun bergegas pulang ke rumah bonda dan ayahandaku di Sentul untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Pelbagai masakan yang menanti untuk dijamah telah disediakan oleh Bonda tercinta, juadah yang wajib disajikan seperti Nasi Impit, Rendang, Sambal Goreng, Kuah kacang dan tidak lupa juga menu yang agak istimewa pada tahun ini Nasi Beriyani. Aku menyantap dengan penuh rasa gembira dan bersyukur kerana dikurniakan rezeki dipagi hari raya. Selesai menjamu selera tiba masa untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama keluarga dan sesi memberikan duit raya kepada ibu, ayah dan adikku, mereka gembira menerima sekeping "Angpow" yang tidak sebanyak mana pun isinya namun seikhlas hati ku berikan. Tepat jam 11.00am kami sekeluarga bergerak ke Bukit Naga, Shah Alam untuk meneruskan program hari ini yakni beraya dirumah nenek.

Fuuuuuuuhhhh~

Kini masuk batang ke dua aku menyedut dan menikmati aroma sebatang rokok yang dibeli dari kedai runcit semalam. Fikiran ku semakin jauh, jauh hingga sampai ke 2 tahun lepas. Yaa..aku masih ingat dan tidak mungkin ku lupa. Dimana hati ini yang seharusnya gembira di Syawal itu telah diragut dan dihiris dalam sedalamnya oleh seorang gadis yang palsu. Hari yang sepatutnya ceria dan meriah bertukar menjadi gelap gelita buat diri ini dimana tamatnya sebuah harapan yang belum pasti akan akhirnya. Aku telah disingkirkan dan dibuang jauh dek kerana cintanya yang palsu dan tidak suci. Aku masih ingat kata-kata yang merobek sebuah pengharapan dalam sebuah perhubungan, retak mahligai yang cuba ku bina oleh orang ketiga. Bagi ku Syawal tiada makna selepas ini. Apa yang tinggal hanya taburan kaca yang menusuk.

Hari itu membuatkan aku rasa letih dan tidak bersemangat, juadah yang menyelerakan membuatkan aku loya dan tidak lalu untuk menyantap. Makcik-makcik ku seolah-olah tahu apa yang telah melanda diri ini namun tiada apa yang dapat mereka lakukan. Hanya kata-kata semangat dan motivasi yang boleh diberikan kepadaku namun umpama "Masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri". Aku hanya mampu berdiam diri meratapi nasib dan tidak dapat menerima kenyataan. Biasalah seorang lelaki hanya akan berdiam diri jika terdapat 2 tanda iaitu putus cinta dan mengalami kekalahan.

Bagi ku dia terlalu kejam, kejam kerana sanggup berlaku demikian. Tetapi aku faham yang sebenarnya dia tidak mahu hidup dalam kepura-puraan. Dia tidak sanggup untuk memberi sebuah pengharapan kerana dia tahu suatu hari dia akan merampasnya kembali. Aku sebagai lelaki sejati dan berfikiran normal harus menerima kekalah ini. Aku redha. Cuma apa yang tidak aku tidak faham kenapakah pada hari dan situasi seperti Syawal ini harus berlaku kekecewaan, kenapa tidak dipilih hari lain?. Bukankah tindakan itu lebih mulia.

"Abg..."
"Abg..."
"Marilah masuk rumah.."
"Izan dengan mak sedang melihat album lama masa abg kecil dahulu..."

"Huuuuh..."
(*Anganku tersentak)

Aku kenal suara manja itu. Aku kangen sama suara itu. Astaghfirullah...rupanya aku hanyut dibuai lamunan di halaman rumah nenekku setelah selesai menjamu makan tengahhari. Fikiranku kembali fokus dan minda mula berjalan. Aku hanya mampu tersenyum dan gembira, rupanya isteri yang dicintai memanggilku untuk masuk kedalam bersantai bersama keluarga melihat album-album lama yang disimpan oleh nenekku. Rupanya baru aku sedari yang aku kini tidak keseorangan tidak berada dalam kegelapan lagi, aku sudah berkahwin dan memiliki cinta hati. Syukur alhamdulilah, ku panjatkan doa terhadapmu kerana masih memberiku ruang dan harapan. Ini kali pertama aku menyambut hari raya bersama seorang isteri yang sememangnya bukan gadis palsu.

"Ok sayang...Abg masuk..."

Ada pepatah mengatakan cinta tidak akan datang kalau tidak dicari, ada juga yang mengatakan patah tumbuh hilang berganti. Namun apa juga pepatah yang disebut, tidak akan berguna andai jodoh dan takdir masih belum ditentukan. Kita manusia yang hina hanya dapat merancang dan hanya yang maha kuasa menentukan. Apa yang kita perlu tahu hanyalah segala yang ditentukan adalah yang terbaik buat kita. Aku akan kedalam untuk menikmati Adilfitri ini meluang masa bersama isteri dan keluargaku sekian apa yang dapat aku karangkan untuk paparan Patah Hati Inc. Akhir kata ku susun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada seluruh pembaca.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012"




No comments:

Post a Comment