Wednesday, January 14, 2015

Selamat Tahun Baru 2015...

Assalamualaikum dah Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan salam tahun baru 2015 kepada semua pembaca blog Dada's Inc. semoga menjalani proses kehidupan yang baik dan diredhainya. Saya tahu pasti ramai diantara kita yang ceria dan ternanti-nantikan tahun 2015 ini, pelbagai rancangan dan azam mulai ditanam dalam diri masing-masing kesemuanya memberi manfaat dan faedah kepada setiap individu namun demikian, dalam kegembiraan itu harus diingatkan bahawa kita sedang diuji oleh Allah swt sebenarnya.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan fenomena banjir besar yang melanda sekitar negeri Pantai Timur, banyak kerosakkan dan kebinasaan yang berlaku. Ramai orang kehilangan tempat tinggal, kehilangan ahli keluarga, kelaparan, terputus hubungan dengan dunia luar serta pelbagai lagi masalah yang dihadapi. Saya turut merasa simpati terhadap nasib yang menimpa mereka, apa yang dapat saya perhatikan rakyat Malaysia memang prihatin tidak kira bangsa dan agama, kesemuanya bersatu padu menyalurkan bantuan dari segi kewangan, bantuan sukarelawan, tenaga dan masa. Usaha sebegini sememangnya harus diterapkan dalam diri masing-masing.

Kembali kepada topik kita pada kali ini berkenaan tahun baru, apa yang sinonim dengannya adalah "Azam Tahun Baru". Seperti kebiasaan ramai orang akan mula berbicara tentang azam mereka; antaranya

"Apa azam baru kau?..."
"Tahun ini aku akan cuba untuk diet..."
"Aku ingin mendirikan rumahtangga..."

ada juga ;

"Alamak...azam tahun lepas pun masih belum terlaksana..."
"Azam aku?...tak payah azam..azam ini..."

Berikut merupakan antara sedikit dialog yang sering kedengaran dari mulut-mulut orang sekeliling kita. Apa-apa pun semuanya terpulang kepada tuan empunya badan samada berjaya atau tidak mencapai azam mereka pada tahun lalu atau ianya masih perlu di "Qada "kan pada tahun ini. Baiklah, seingat saya pada tahun 2014 yang lalu saya tidak menanam sebarang azam kerana fikiran saya agak berserabut menguruskan anak, kewangan dan urusan belajar namun demikian bukanlah bererti saya tidak membuat sebarang tindakan.

Sebenarnya saya lebih kepada analisis masalah dan merancang apa yang terbaik bagi tahun berikutnya yakni tahun 2015. Secara kesimpulannya azam tahun 2015 ini saya ingin mendefisitkan seberapa banyak hutang yang ada dan mengalirkan kadar kewangan ke sumber-sumber yang lebih berfaedah serta meningkatkan kadar simpanan saya di institusi kewangan yang diiktiraf.

Perkara ini telah difikirkan oleh saya sejak dari tahun lepas lagi memandangkan tahun ini merupakan tahun yang mencabar ekoran krisis ekonomi negara yang semakin merundum dan nilai ringgit Malaysia yang semakin susut. Sebenarnya perkara ini boleh mendatangkan impak sedikit sebanyak kepada kita selaku rakyat Malaysia. Lagi pun tahun 2015 ini, in sha allah saya akan menimang seorang lagi cahaya mata dan akan berpindah ke rumah baru pada hujung tahunnya oleh itu penggunaan wang amat diperlukan.

Saya banyak membaca mengenai artikel-artikel mengenai cara pengurusan wang dan cara untuk menjana wang namun masih belum sempat untuk mencubanya, almaklumlah sibuk dengan urusan harian seperti bekerja, menjaga anak, dan belajar. Dalam usaha untuk menjana kewangan saya ada cuba untuk membuat jualan "online" di Mudah.com dan Instagram, pada awalnya memang berjaya dan menguntungkan namun ekoran sifat kejujuran dan semangat setia kawan yang tinggi dalam diri ini menyebabkan saya telah di "Tikam Dari Belakang" oleh kawan sendiri. Saya malas hendak meneruskan cerita mengenai isu tersebut dengan panjang lebar, cukuplah sekadar menjadi pengajaran kepada diri saya sendiri yakni dalam kehidupan kita tidak boleh 100% percaya kepada kawan kita. Sekarang ini saya masih mencari perniagaan apa yang dapat memberikan pulangan namun usaha tersebut nampaknya semakin pudar.

Bila bercerita mengenai cara atau proses untuk melakukan perubahan contohnya menyimpan duit didalam bank memang sangat-sangat sukar, banyak kali saya telah cuba dan keputusannya mengecewakan. Masalah disiplin bukan lagi isu disini kerana saya sudah cekalkan hati untuk menyimpan namun terpaksa juga keluarkan bila saat memerlukan. Paling lama bertahan duit dalam simpanan 3 bulan lepas itu mesti akan dikeluarkan juga. Saya mempunyai tiga tabung di rumah yang telah di bahagikan khas untuk menyimpan syiling lama, syiling baru dan Rm0.50 sahaja, alhamdulilah tabung syiling lama masih belum dikeluarkan manakala yang dua tabung lagi telah selamat diselesaikan puncanya ingin membayar duit muka motor baru.

Berkat inisiatif tahun lalu saya telah membuka akaun tabung haji melalui potongan gaji bulanan dan setakat ini alhamdulillah masih belum sentuh lagi, harapannya adalah untuk membiarkan sahaja ia khas untuk kegunaan ketika darurat. Bonus akhir tahun baru-baru ini sedikit dapat membantu saya dalam usaha untuk menjelaskan hutang kad kredit yang telah sekian lama tertunggak. Apa pun ia harus di agihkan ke akaun simpanan agar dapat membantu apabila sesak pertengahan tahun nanti.

Sedar tidak sedar sudah lama saya bercerita, baiklah untuk mengakhiri cerita pada kali ini saya akan mendoakan anda semua agar berjaya mencapai apa yang dirancang pada tahun ini, jangan lupa untuk mendoakan saya juga. Moleklah sekiranya saya akhir karangan saya kali ini dengan serangkap pantun.

"Buah muda masih menggantung"
"Sudah masak jatuh dari pohonnya"
"Selagi muda giatlah menabung"
"Untuk bekal di hari tua"

"Hari Isnin pergi ke Bandung"
"Hari Selasa pergi ke Surabaya"
"Dari kecil rajin menabung"
"Nanti besar kaya raya"

"Jalan-jalan ke negeri orang"
"Janganlah lupa membawa bekalan"
"Rajinlah dikau menabung wang"
"Kelak dipermudah masa hadapan"

Thursday, November 20, 2014

Berakhirnya Sebuah Memori...

Topi Keledar ARAI Kesayanganku...
Deruan angin malam deras melanggar pipiku takkala "Throttle " Evo 250i dipulas  suku takok, sesekali aku menjeling meter digitalnya jelas menunjukkan angka 130km/j. Aku meyusuri jalan yang agak lengang di Mahameru walhal jam baru menunjukkan pukul 9 malam.

Zaman Bujang...
Suatu Ketika Sewaktu Konvoi Ke Port Dickson
Aku sebenarnya bertemu janji dengan seorang "Buyer" yang sudi melamar barang kesayangan milikku. Mungkin jika anda meneruskan untuk membaca cerita karanganku ini akan merasa pelik dan tertanya-tanya apakah barang tersebut, sebenarnya ia adalah sebuah Helmet Arai lama yang aku miliki. Malam ini mungkin ia akan bertukar tangan atau dalam bahasa "Bikers"nya bertukar "Owner".

Mengimbau Kenangan Lama Bersama Jentera TZM
Memang aku yang mempamerkannya di laman jual beli yang tersohor di Malaysia yakni Mudah.com. Banyak kenangan aku bersama topi keledar tersebut, cukup banyak. Sambil memecut laju Evo 250i, aku terkenang zaman TZM  dimasa berkonvoi beramai-ramai. Bagiku ia cukup gah dikalangan rakan-rakan menunggang dengan penuh bergaya seiring dengan zaman seusia mudaku, bagi kami memiliki jentera dan kelengkapan sebegitu sudah memadai kepuasannya.

Zaman ZXR Dulu-Dulu...
Sedar tidak sedar rupanya aku telah tiba di lokasi perjumpaan. Ketika aku mencapai telefon bimbitku aplikasi Whatsapp berkelip menandakan ada pesanan masuk dan ada pesanan mengatakan beliau lewat sedikit kerana baru lepas pulang dari kerja. Baiklah aku pun setia menunggunya. Boleh tahan juga lewat budak ini hampir 15 minit aku tersadai disebelah restoren MCD, Petaling Jaya. Perut racau-racau melihat papan tanda burger-burger yang enak itu mahu rasanya 'menyambar' sebiji.

"Buyer" Yang Menunggang Cagiva Mito 125cc
Tiba-tiba dari jauh kelihatan kelibat sebuah jentera seakan motor lumba dan apabila diamati betul-betul serta ditambah firasatku rasanya mungkin inilah "Buyer" tersebut. Tidak salah kerana beliau semakin menghampiri kedudukanku, akhirnya beliau tiba. Boleh tahan mamat ini, 'Budak Mito' rupanya sebab jentera tunggangannya adalah sebuah Cagiva Mito 125cc. Aku kenal betul jenteranya sebab aku pernah juga meminati model keluaran Italy ini.

Nama beliau Hairul, macam nama kawan pejabat aku pula, kebetulan. Dari fesyen pemakaian dan cara borak aku sudah boleh jangkakan yang beliau seorang "Bikers Oldskewl" yang mana walau usia sudah menjangkau tahap "Senior" namun keinginan menunggang jentera kegilaan muda-mudi masih tinggi. Tawar menawar berlaku dan akhirnya aku bersetuju untuk melepaskan topi keledar kesayang tersebut pada harga yang boleh dikira rasional dan menguntungkan kedua belah pihak.

Alhamdulilah, setakat ini laman sesawang Mudah.com banyak membantu aku dalam urusan jual beli di alam siber ini, dari motorsikal, kelengkapan motosikal, barangan pancing serta pelbagai lagi barangan telah aku berjaya jual. Baiklah sekarang aku ingin pulang dan membeli lampin pakai buang anak dahulu, semoga bertemu lagi.

Thursday, November 13, 2014

"BORN TO RIDE..."

SYM Symphony Evo 250i
Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah syukur bertemu lagi kita setelah hampir 4 bulan saya tidak mengemaskini blog Dada Inc. Seingat saya pos terakhir adalah pada bulan Julai iaitu di kala menjelangnya hari lebaran dan kini sudah hampir penghujung bulan November. Banyak perkara suka dan duka berlaku dalam kehidupan yang indah ini, rata-ratanya perkara yang menggembirakan yang berlaku, alhamdulilah.

Lampu Depan Yang Berciri Moden
Antaranya anak saya Luth Aidan yang sihat membesar bagaikan juara, semakin pintar budak kecil itu, macam-macam ragam serta karenah comel berlaku. Kemudian pada awal bulan Februari 2015 tahun hadapan kami bakal menimang 1 lagi cahaya mata yakni adik Luth. Setelah 4D scan dijalankan nampaknya Luth bakal mendapat seorang adik lelaki. Selain itu proses pembelian rumah pertama kami berjalan dengan lancar, dan dijangka pertengahan tahun 2015 boleh siap untuk diduduki. Akhir sekali esok dijangka motor baru saya akan keluar alhamdulillah diatas kurniaan rezeki tersebut.

Siap Ada "Day Light"
Baiklah fokus kali ini adalah berkenaan jentera baru yang bakal saya miliki ini, orang cakap "Kenderaan Rakyat". Memandangkan zaman semakin mencabar ekoran peningkatan kadar belanjawan serta kenaikan taraf modal insan maka lahirnya jentera yang agak efisyen di negara yang dicintai ini. Sebelum ini penggunaan motor Kapchai saya, diakui banyak membantu memudahkan kehidupan serta kewangan saya namun peredaran masa dan gaya membuatkan ianya sudah tidak praktikal. Kebanjiran motor-motor baru yang agak canggih dipasaran negara secara tidak langsung berjaya meracun saya untuk turut sama mengikuti gelombang fenomena yang dibawa. Setelah perbandingan serta pertimbangan dilakukan akhirnya saya memilih untuk menunggang SYM Symphony Evo 250i atau lebih dikenali dengan nama manja "Siput Gondang".

Signal Di Belakang Cermin Pandang Sisi
Pada mulanya hajat didalam sanubari ini lebih kepada pemilihan motor "Superbike" iaitu model Kawasaki Z800 yang berharga dalam lingkungan RM49,000. Setelah perbincangan dibuat dengan orang rumah dan percubaan menaiki jentera tersebut di kedai nampaknya menghampakan ekoran ke tidak selesaan serta posisi yang agak berbahaya maka leburlah harapan untuk memiliki jentera tersebut. Beralih pula kepada pencarian jentera yang lebih sesuai dan praktikal demi tungangan harian maka definisi "Maxi Scooter" harus diambil kira. Nampaknya memang diyakini serta mengujakan pemilihan jentera tersebut.


Sistem Brek Cakera Yang Mantap
Skuter bersaiz besar atau lebih dikenali sebagai skuter maxi. Secara ringkasnya, skuter sebegitu disifatkan sebagai model yang merapatkan jurang antara skuter kecil atau kapcai dengan motosikal bergear dan memiliki kapasiti enjin lebih besar. Skuter maxi lazimnya popular di pasaran Eropah dan Jepun. Sesaran enjinnya juga berbeza-beza bermula dari sekecil 150cc hinggalah 650cc. Dengan tubuh dan kuasa enjin yag besar, skuter touring itu menawarkan tunggangan yang menyeronokkan terutama ketika menunggang dalam jarak yang jauh.

Paparan Meter LED
Di pasaran tempatan, sebelum Modenas memperkenalkan skuter maxi mampu miliknya iaitu Elegan, segmen itu diisi oleh beberapa model yang ditawarkan pada harga premium. Antara model yang popular ialah Yamaha Majesty 250YP yang dipasarkan sekitar tahun 1997. Saya sempat melayari laman forum berkaitan skuter maxi, agak terkejut juga kerana masih ada yang berminat untuk memiliki Yamaha Majesty itu walaupun usianya sudah menjangkau lebih sepuluh tahun.

Siap ada USB 12V, Senang Cas Telefon Bimbit
Tahu bahawa skuter maxi memang ada peminatnya, pasaran yang awalnya dimonopoli Modenas Elegan kemudian dikongsi oleh skuter jenama dari Taiwan, SangYang Motors atau SYM. Dengan rekaan dan pelbagai ciri menarik, di samping harganya yang berpatutan skuter maxi SYM terutama VTS200 nyata mendapat sambutan hangat daripada pembeli. Ada banyak sebab kenapa skuter maxi digemari. Antara faktor utama adalah karekternya yang seronok, selesa dan stabil ditunggang untuk perjalanan jauh.

Ruang Udara Panas
Paddle Kaki
Ruang Simpanan Yang Besar
Lampu Belakang LED
Berikut merupakan sedikit penjelasan pakar berkenaan "Maxi Scooter", alhamdulilah saya telah berjaya menyambar seekor Siput belaan dan diharap prestasi dan kemampuan jentera tersebut setara dengan harganya yang agak tinggi. Semoga ianya menjadi kenderaan yang akan banyak membantu saya dimasa hadapan dalam usaha menempuhi cabaran masa depan. Memang niat di hati untuk dijadikan tunggangan saya dan isteri ke tempat kerja ulang alik dari rumah baru di Jalan Kebun Baru ke Petaling Jaya. Akhir kata pandulah di jalanraya dengan cermat demi orang tersayang.

-Assalamualaikum.

Monday, August 4, 2014

Beraya Di Rumah Nenek Di Bukit Naga, Shah Alam...!!!

"Perjalanan Jauh Tak Ku Rasa..."
"Kerna Hati Ku Melonjat Sana..."
"Ingin Berjumpa Sanak-Saudara Yang Selalu Bermain Dimata..."
"Ooo..Ooo..Ooo..Balik Kampung!!!..."
"Ooo..Ooo..Ooo..Balik Kampung!!!..."

Bersemangat Dada menyanyikan lagu Allahyarham Sudirman sewaktu dalam kereta macam jauh pula rasanya ingin pulang ke kampung padahal ianya hanya terletak beberapa kilometer sahaja dari Subang Jaya iaitu di Bukit Naga, Seksyen 32 Shah Alam...Keh Keh Keh...ambil mood orang cakap. Selepas Zohor kami sekeluarga berangkat meninggalkan Tok Ma dan saudara yang lain di Subang Jaya.

Family Grandma: Anak, Menantu dan Cucu
Setibanya dikampung, semua sanak-saudara sudah menunggu kami dengan wajah yang ceria. Makanan tradisi keluarga memang sudah tersedia sejak dari awal pagi lagi iaitu Lontong, Ketupat, Sambal Goreng, Lodeh, Rendang Ayam, Rendang Daging dan pelbagai juadah untuk sepanjang hari ini. Rindunya Dada pada resepi ini kerana hanya setahun sekali dapat merasanya. Nenek sudah tua dan tidak larat hendak masak oleh itu Mak Uda yang masakkan, nasib baik dia pandai masak dan sama cara masakannya sebijik macam Nenek.

Dari Kiri - Dada, Uncle Ngah, Ayum dan Grandma; Atok Sahaja Yang Tiada...
Selepas menikmati juadah tersebut tiba sesi untuk bersalaman dan bergambar, Dada minta maaf sebab untuk gambar bersalaman sebelah family Dada tiada dan tidak sempat untuk menangkapnya akan tetapi gambar keluarga masing-masing adalah untuk paparan di blog Patah Hati Inc ini. Gambar diatas merupakan keluarga Dada yang terdiri dari Mak, Dada, Bang Ngah dan Alip cuma Abah sahaja tiada kerana beliau beraya di Sentul sendiri, jaga rumah katanya.

Family Mak Uda
Gambar di atas menunjukkan family Mak Uda yang terdiri dari Pak Uda, Iza dan Suaminya (Imran), Oni dan pakwe Irannya (Royan), Siraj, Adik dan Baby Danial. Mak Uda merupakan adik No. 1 kepada Mak Dada senang cerita anak ke 2 dalam keluarga Wak Jani. Merupakan seorang business woman yang berjaya.

Family Mak Mah
Yang ini pula keluarga Mak Mah yang terdiri dari anak tunggal beliau Si Aril, Mat Salleh dua orang tu pun anak beranak juga namanya Ronald dan Nick anak nya. Ini sebenarnya pakwe Mak Mah yang mana merupakan orang Jerman. Mereka ini sangat "Sporting" dan baik. Pendek kata hidup kami sekeluarga berubah setelah Mak Mah bekerja bersama beliau. Walau apapun terbaik!!!...Ada lagi keluarga Dada yang tidak dapat masuk ke dalam cerita ini di sebabkan masa bergambar entah kemana pula menghilangnya mereka, oleh itu tidak dapatlah Dada masukkan dalam blog.

B.B.Q SESSION AT NIGHT

Pada sebelah malamnya pula kami sekeluarga mengadakan sesi BBQ, memang terbaik kerana ada pelbagai jenis bahan seperti Ayam, Kambing, Sotong, Udang, Ikan Pari dan juga Satay "Home Made" yang di sediakan oleh Mak Uda khas untuk Ronald Dan Nick. Siapa lagi tukang bakar, semestinya Dada dan Ayum untuk bahagian BBQ manakala untuk bahagian Satay pula Pak Uda yang  tolong bakar. Makanan macam tidak cukup disebabkan ada tetamu lain datang selain keluarga kami, tapi apa boleh buat bak kata pepatah "Sikit Sama Sikit, Banyak Sama Rasa" rasa janji gembira di hari raya.

Itu dia Tempat Panggang Dari Kereta Sorong...Layan!!!
Satay "Home Made" (Ayam / Daging)
Tukang Bakar Sejati - Ayum
Tukang Melantak!!!...
Rasanya itu sahaja cerita kali ini semoga bertemu lagi dalam cerita akan datang. Harap anda semua terhibur dengan cerita sambutan hari raya serta serba sedikit mengenai keluarga Dada. Terima kasih diucapkan kepada pembaca Patah Hati Inc. kerana sudi meluangkan masa membaca blog ini. Assalamualaikum wbt...

Suasana Pagi Raya Di Subang Jaya!!!...

"Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akhbar."
"Laa Illah Hailllallahu Allahu Akhbar
"Allahu Akhbar Walillah Ilham..."

Alhamdulillah takbir sudah bergema di ruang udara menandakan masuknya bulan Syawal yang mulia dan di nanti-nantikan oleh semua umat islam. Ramadhan pergi jua meninggalkan kita, semoga amalan kita sepanjang 30 hari yang lalu di angkat naik ke langit, amin. Suasana tenang dan dingin di pagi raya dan kami sekeluarga bangun awal bersiap-siap untuk ke masjid Seksyen 15, Subang Jaya. Tahun ini kami sekeluarga tidak pulang beraya di Kelantan kerana bimbang jalan sesak dan keadaan jalanraya yang tidak elok. Sebenarnya Mama dan Luth telah pulang menaiki penerbangan MAS seminggu lebih awal dan berpuasa disana. Aku mengizinkan beliau untuk bersama-sama menziarah keluarga yang dirindui beliau.

Bersiap-siap Dipagi Hari...
Tahun ini Luth memakai jubah dan kopiah yang dibeli di Jalan Tar, susah juga mahu mencari saiz budak kecil ini memandangkan jubah yang dijual semua untuk budak-budak berusia 3-5 tahun nasib baik berjaya mendapatkan saiz Luth. Dada hanya menempah baju melayu tanpa seluar, itu pun hanya menggunakan kain percuma pemberian Ayah Noor di Kelantan ketika pulang ke Kelantan 2 tahun lepas. Jimat cermat orang cakap, buat apa nak membazir bila barang ada. Mama pula mengenakan koleksi baju kurung berwarna biru muda yang cantik, dibelinya secara "Online".

Lebai Kecil...
Selepas pulang dari masjid, kami sekeluarga akan duduk makan bersama-sama, Tok ma masak Nasi Dagang. Sedap tidak terkira, habis 2 pinggan Dada makan. Kemudian tiba masa berkumpul di ruang tamu untuk bergambar dan bermaaf-maafan sesama keluarga. Tahun ini Tok Ayah pulang beraya di Kelantan bersama keluarga kedua beliau oleh itu tidak dapatlah kami bersama berhimpun dan bersalaman dengan beliau.

Dada Salam Dulu...
Dada memulakan acara dengan bersalaman dengan Tok Ma memohon keampunan dan halalkan makan dan minum selama mengenali beliau. Kemudian disusuli giliran Mama pula untuk bersalaman bersama Tok Ma. Sampai meleleh air mata mereka Dada tengok, ini macam betul-betul menjiwai watak. Akhirnya tiba giliran Luth pula untuk bersalam dan membuat muka comelnya agar Tok Ma memberikan duit raya. 

Giliran Mama Pula...
Giliran Luth Aidan Pula...
Aikk Senyum Pula...
Sungguh kelakar dan comel bila memerhatikan gelagat "Lebai Kecil" ini dipagi hari raya. Kemudian tiba sesi bersalaman diantara Dada dan Mama, alhamdulilah merasa juga Dada untuk bersalaman bersama seorang isteri dan anak. Tidak semua orang berkesempatan merasa pengalaman tersebut. 

Mintak Halal Makan Minum...
Mama jangan risau, dosa Mama telah Dada ampun dari hujung rambut ke hujung kaki. Dada halalkan segala makan minum Mama serta meredhai segala perbuatan. Terima kasih diatas pengorbanan Mama melahirkan Luth dan membesarkannya. Dada sentiasa sayang awak berdua.

Family Potrait Dihari Raya...
Selesai sesi bergambar dan bersalaman bersama keluarga dan sanak saudara yang lain, kami beramai-ramai bertolak ke USJ untuk beraya di rumah "Aunty Yah & Uncle hareez". Memang setiap tahun kami akan rumah mereka sebagai pembukaan acara kunjung mengunjung cuma gambar beraya disana Dada tidak sempat tangkap namun semuanya ceria dan gembira. Selepas itu tiba masa untuk Dada, Mama dan Luth untuk pulang ke Bukit Naga beraya bersama keluarga sebelah Dada. Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar dan tersusun. Ikuti kisah raya selanjutnya di "posting" seterusnya. Terima kasih diucapkan kepada pembaca yang sudi mengikuti blog Patah Hati Inc. Akhir kata...

"SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI DAN MAAF ZAHIR DAN BATIN"

-dari keluarga kami.