Wednesday, January 14, 2015

Selamat Tahun Baru 2015...

Assalamualaikum dah Salam Sejahtera,

Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan salam tahun baru 2015 kepada semua pembaca blog Dada's Inc. semoga menjalani proses kehidupan yang baik dan diredhainya. Saya tahu pasti ramai diantara kita yang ceria dan ternanti-nantikan tahun 2015 ini, pelbagai rancangan dan azam mulai ditanam dalam diri masing-masing kesemuanya memberi manfaat dan faedah kepada setiap individu namun demikian, dalam kegembiraan itu harus diingatkan bahawa kita sedang diuji oleh Allah swt sebenarnya.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan fenomena banjir besar yang melanda sekitar negeri Pantai Timur, banyak kerosakkan dan kebinasaan yang berlaku. Ramai orang kehilangan tempat tinggal, kehilangan ahli keluarga, kelaparan, terputus hubungan dengan dunia luar serta pelbagai lagi masalah yang dihadapi. Saya turut merasa simpati terhadap nasib yang menimpa mereka, apa yang dapat saya perhatikan rakyat Malaysia memang prihatin tidak kira bangsa dan agama, kesemuanya bersatu padu menyalurkan bantuan dari segi kewangan, bantuan sukarelawan, tenaga dan masa. Usaha sebegini sememangnya harus diterapkan dalam diri masing-masing.

Kembali kepada topik kita pada kali ini berkenaan tahun baru, apa yang sinonim dengannya adalah "Azam Tahun Baru". Seperti kebiasaan ramai orang akan mula berbicara tentang azam mereka; antaranya

"Apa azam baru kau?..."
"Tahun ini aku akan cuba untuk diet..."
"Aku ingin mendirikan rumahtangga..."

ada juga ;

"Alamak...azam tahun lepas pun masih belum terlaksana..."
"Azam aku?...tak payah azam..azam ini..."

Berikut merupakan antara sedikit dialog yang sering kedengaran dari mulut-mulut orang sekeliling kita. Apa-apa pun semuanya terpulang kepada tuan empunya badan samada berjaya atau tidak mencapai azam mereka pada tahun lalu atau ianya masih perlu di "Qada "kan pada tahun ini. Baiklah, seingat saya pada tahun 2014 yang lalu saya tidak menanam sebarang azam kerana fikiran saya agak berserabut menguruskan anak, kewangan dan urusan belajar namun demikian bukanlah bererti saya tidak membuat sebarang tindakan.

Sebenarnya saya lebih kepada analisis masalah dan merancang apa yang terbaik bagi tahun berikutnya yakni tahun 2015. Secara kesimpulannya azam tahun 2015 ini saya ingin mendefisitkan seberapa banyak hutang yang ada dan mengalirkan kadar kewangan ke sumber-sumber yang lebih berfaedah serta meningkatkan kadar simpanan saya di institusi kewangan yang diiktiraf.

Perkara ini telah difikirkan oleh saya sejak dari tahun lepas lagi memandangkan tahun ini merupakan tahun yang mencabar ekoran krisis ekonomi negara yang semakin merundum dan nilai ringgit Malaysia yang semakin susut. Sebenarnya perkara ini boleh mendatangkan impak sedikit sebanyak kepada kita selaku rakyat Malaysia. Lagi pun tahun 2015 ini, in sha allah saya akan menimang seorang lagi cahaya mata dan akan berpindah ke rumah baru pada hujung tahunnya oleh itu penggunaan wang amat diperlukan.

Saya banyak membaca mengenai artikel-artikel mengenai cara pengurusan wang dan cara untuk menjana wang namun masih belum sempat untuk mencubanya, almaklumlah sibuk dengan urusan harian seperti bekerja, menjaga anak, dan belajar. Dalam usaha untuk menjana kewangan saya ada cuba untuk membuat jualan "online" di Mudah.com dan Instagram, pada awalnya memang berjaya dan menguntungkan namun ekoran sifat kejujuran dan semangat setia kawan yang tinggi dalam diri ini menyebabkan saya telah di "Tikam Dari Belakang" oleh kawan sendiri. Saya malas hendak meneruskan cerita mengenai isu tersebut dengan panjang lebar, cukuplah sekadar menjadi pengajaran kepada diri saya sendiri yakni dalam kehidupan kita tidak boleh 100% percaya kepada kawan kita. Sekarang ini saya masih mencari perniagaan apa yang dapat memberikan pulangan namun usaha tersebut nampaknya semakin pudar.

Bila bercerita mengenai cara atau proses untuk melakukan perubahan contohnya menyimpan duit didalam bank memang sangat-sangat sukar, banyak kali saya telah cuba dan keputusannya mengecewakan. Masalah disiplin bukan lagi isu disini kerana saya sudah cekalkan hati untuk menyimpan namun terpaksa juga keluarkan bila saat memerlukan. Paling lama bertahan duit dalam simpanan 3 bulan lepas itu mesti akan dikeluarkan juga. Saya mempunyai tiga tabung di rumah yang telah di bahagikan khas untuk menyimpan syiling lama, syiling baru dan Rm0.50 sahaja, alhamdulilah tabung syiling lama masih belum dikeluarkan manakala yang dua tabung lagi telah selamat diselesaikan puncanya ingin membayar duit muka motor baru.

Berkat inisiatif tahun lalu saya telah membuka akaun tabung haji melalui potongan gaji bulanan dan setakat ini alhamdulillah masih belum sentuh lagi, harapannya adalah untuk membiarkan sahaja ia khas untuk kegunaan ketika darurat. Bonus akhir tahun baru-baru ini sedikit dapat membantu saya dalam usaha untuk menjelaskan hutang kad kredit yang telah sekian lama tertunggak. Apa pun ia harus di agihkan ke akaun simpanan agar dapat membantu apabila sesak pertengahan tahun nanti.

Sedar tidak sedar sudah lama saya bercerita, baiklah untuk mengakhiri cerita pada kali ini saya akan mendoakan anda semua agar berjaya mencapai apa yang dirancang pada tahun ini, jangan lupa untuk mendoakan saya juga. Moleklah sekiranya saya akhir karangan saya kali ini dengan serangkap pantun.

"Buah muda masih menggantung"
"Sudah masak jatuh dari pohonnya"
"Selagi muda giatlah menabung"
"Untuk bekal di hari tua"

"Hari Isnin pergi ke Bandung"
"Hari Selasa pergi ke Surabaya"
"Dari kecil rajin menabung"
"Nanti besar kaya raya"

"Jalan-jalan ke negeri orang"
"Janganlah lupa membawa bekalan"
"Rajinlah dikau menabung wang"
"Kelak dipermudah masa hadapan"

No comments:

Post a Comment