Monday, February 2, 2015

Selamat Lahir Ke Dunia Yang Sementara Ini...Seth Ashman :)

Assalamualaikum wbt diucapkan kepada pembaca blog Patah Hati Inc., semoga dalam keadaan yang sihat dan sentiasa dalam rahmat Allah swt. Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat ilahi kerana dikurniakan cahaya mata ke 2 yang menyinari kehidupan saya sekeluarga. Yang keduanya saya amat bersyukur kerana isteri saya selamat menjalani pembedahan dan sekarang ini sedang berpantang di rumah maknya.

Untuk pengetahuan kawan-kawan, 

Pada awalnya isu pemilihan hospital memang menjadi masalah bagi kami ekoran kesuntukan masa dan akibat sambil lewa dalam urusan kelahiran anak. Saya ingin anak-anak saya dilahirkan di hospital kerajaan PPUM namun terdapat polisi yang mengatakan hanya anak pertama yang boleh diterima oleh pihak hospital disitu manakala anak seterusnya tidak diterima andai dapat pun adalah nasib atau mempunyai talian orang dalam yang kuat. Justeru itu kami bercadang untuk ke Hospital Selayang mencuba nasib, sungguh tidak disangka dan terkejut ekoran suasana hospital yang tidak kondusif serta mesra pelanggan menyebabkan kami terus buntu untuk mencuba servis disitu. Masa semakin suntuk dalam pemilihan hospital lalu saya pasrah dan redha untuk memasukkan isteri saya ke hospital swasta iaitu SJMC.  Jika kita sebut berkenaan hospital swasta ini faham-fahamlah bayarannya semestinya berganda, akan tetapi disebabkan kesian dan sayangkan isteri dan anak akhirnya saya terpaksa akur dengan keputusan tersebut. Tanggal 22 haribulan Januari 2015 yang lalu isteri saya telah melahirkan seorang bayi lelaki yang comel di Sime Dardy Medical Centre (SJMC) yang terletak di Subang Jaya dan merupakan sebuah hospital panel TNB suka ramai dan difahamkan antara pusat rawatan Antenatal terbaik di sekitar Lembah Klang. 

Isteri saya terpaksa menjalani proses melahirkan anak melalui pembedahan LCS kerana kandungan agak besar iaitu melebihi 3.5kg lalu doktor mengatakan proses melahirkan anak secara normal agak sukar dan boleh memudaratkan bayi serta ibunya. Kami sekeluarga bersetuju untuk menjalani pembedahan tersebut kerana anak sulung saya Luth Aidan juga lahir dengan kaedah LCS. Sewaktu menunggu proses pembedahan dijalankan saya agak tenang kali ini kerana suasana hospital agak selesa serta ditemani ahli keluarga disisi. Tepat jam 10.30pagi, Seth Ashman lahir ke dunia, Jururawat yang ditugaskan kemudian membawa kami sekeluarga dan Seth Ashman ke sebuah bilik penjagaan bayi untuk di "Azan" kan manakala isteri saya masih berada dalam bilik pembedahan. Kami sekeluarga amat gembira dan bersyukur kerana alhamdulilah Seth cukup sifat dan sihat. 

Amin...Amin...Amin..

Saiz Seth Ashman agak kecil sedikit iaitu 3.8kg manakala abangnya 4.2kg, mungkin dia keluar dari perut Mamanya agak awal sedikit dari tarikh anggaran, berbeza dengan abangnya yang sudah terlewat seminggu. Sungguh pun demikian, bentuk wajahnya adalah lebih kurang sama cuma matanya sahaja yang masih belum terbuka dan dari segi rambut dan warna kulit tetap sama dengan abangnya. Kali ini proses menyusukan bayi lebih mudah ekoran susu ibu sudah dapat dikeluarkan dengan banyak oleh itu Seth Ashman dapat menikmati susu ibu dengan mudah dan banyak. Sepatutnya Mama dan Seth Ashman boleh keluar dari hospital awal namun demikian doktor enggan melepaskan mereka kerana bayi mengalami demam kuning yang tinggi iaitu 2++ oleh yang demikian terpaksalah kami bersabar dan redha menunggu, hampir 5 hari isteri saya ditahan di dalam SJMC dan terpaksalah saya ulang alik dari Sentul untuk membawa ahli keluarga yang lain serta anak sulung bertemu Mamanya di hospital. Duit sememangnya menjadi taruhan apabila kita berurusan dengan perkara seperti kos perjalanan, kos makan dan minum serta perbelanjaan barang-barang untuk beberapa hari tersebut, nasib baik bonus akhir tahun TNB masih ada sebagai bekalan, kalau harapkan gaji bulanan sememangnya tidak mencukupi. 

Hmm....

Akhirnya Mama dan Seth Ashman boleh pulang kerumah, kami sekeluarga amat gembira kerana sekarang ini barulah boleh meneruskan program serta  aktiviti yang dirancang. Baiklah untuk sesi ibu berpantang, saya menghantar isteri untuk tinggal bersama maknya di Subang Jaya selama 2 bulan dimana makan, minum, pakaian isteri serta urusan penjagaan bayi seperti memandikan, menidurkan dan lain-lain lagi di uruskan oleh mak mertua saya. Lagipun keadaan rumah beliau lebih baik dan selesa untuk kondisi ibu berpantang. Saya dan anak sulung tinggal berasingan iaitu di rumah mak saya di Sentul untuk memberi ruang kepada isteri saya berehat. Selang 2 atau 3 hari sekali saya akan membawa Luth Aidan untuk bertemu Mamanya di Subang Jaya. Siapa yang tidak rindu dan sedih apabila tinggal berasingan dan berjauhan dengan keluarga namun apakan daya kehidupan harus diteruskan, nasib baik kita hidup dizaman yang serba moden dimana teknologi Whatsapp dan Video Call banyak membantu dalam mendekatkan hubungan. Saya boleh mendapatkan info serta perkembangan harian anak dan isteri jadi tidaklah rasa terlalu sunyi dan rindu.

Jujur saya katakan kini apabila sudah mempunyai 2 orang anak baru agak terasa tanggungjawab yang terpikul didada antara sebabnya pada awal mulanya saya sudah diuji untuk menguruskan anak sulung tanpa isteri disisi. Penat ingin melayan serta menjaga beliau hari-hari, memang memenatkan tapi dalam kepenatan itu masih lagi terasa keseronokkan dan kesyukuran. Kalau sebelum ini ketika anak pertama dilahirkan jika si isteri berpantang, si ayah akan menjadi "Orang Bujang" namun apabila lahirnya anak ke 2, maka hilang kelebihan tersebut kerana rasa tanggungjawab untuk menjaga anak sulung itu adalah lebih utama. Akhir kata dari saya terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan serta sudi membaca blog Patah Hati Inc, ini semoga kita berjumpa lagi di cerita akan datang. 

Assalamualaikum wbt.

No comments:

Post a Comment