Saturday, October 27, 2012

Bahagia...

Aku hanya duduk diruang beranda luar pintu rumah keseorangan menghisap Pallmall merah sambil memperhatikan gelagat masyarakat flat di sini. Ada yang baru pulang setelah seharian menjalankan aktiviti harian, ada yang baru pulang dari surau, budak-budak berlari tanpa arah tuju (haaaihh...anak siapalah) dan motor macha yang kelam kabut.

Bukan manusia sahaja yang sibuk malah haiwan seperti lipas, tikus dan semut juga seolah-olah ada aktiviti mereka. Semua sibuk dengan aktiviti. Aku sebenarnya pulang kerumah ibu dan bapa ku di Sentul, mertuaku telah menyuruh aku pulang kesini untuk menghantar sup daging yang dimasaknya siang tadi hasil dari daging korban semperna Aidiladha. Baik sungguh mertuaku.

Setibanya disini aku rasa rindu dengan suasana disini. Terubat segala rindu pada keluarga disini, kenangan kembali bermain di kepala dan rasa bahagia sekali. Isteri ku tidak ikut ekoran sarat mengandung dan masih mabuk-mabuk lagi pun aku tidak mahu dia kerap berjalan.

Alhamdulillah aku rasa bahagia sekarang, punyai keluarga, isteri dan insyaallah bakal bergelar bapa. Apa lagi yang perlu aku kejarkan sekarang? Semuanya aku dah ada cuma menjalankan tanggungjawab dan meningkatkan taraf hidup.

Sebenarnya aku sedang menghantar tulisan ini menggunakan Samsung Galaxy Note II yang baru aku beli 3 hari yang lepas. Telefon pintar ini memang menepati ciri-ciri yang aku impikan. Dikala masa terluang ini aku sahaja menguji aplikasi di telefon ini.

Bila bercerita tentang hari raya Aidiladha tahun ini boleh dikatakan tiada apa yang istimewa, semua aktiviti macam kebiasaan. Sembahyang raya, takbir raya dan ziarah menziarahi sanak saudara. Aku tidak pulang ke Kelantan tahun ini kerana tidak larat dan cuti tiada. Banyak juga daging korban yang kami dapat dan bolehlah dibuat masak "Stew". Sampai sini sahaja tulisan untuk Patah Hati Inc. Mak aku panggil pula ada kerja sedikit. Akhir kata...

"SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA"

Tuesday, October 9, 2012

P.P.W.M


Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan penantian itu suatu penyiksaan, laman Patah Hati Inc. perlu diisi dengan paparan dan cerita yang menarik bagi santapan para pembaca. Tiada apa yang aku rasakan berbeza dari segi kehidupan. Soal kerja seperti biasa, masih macam dahulu cuma dimusim prestasi ini seperti biasalah semangat juang dipertingkatkan sekali ganda almaklumlah orang cakap "Mengejar Impian", Impian apa?...Bonus akhir tahun. Selaku pekerja kita terikat dengan Kompetensi dan KPI kerja. Oleh yang demikian apabila akhir tahun, semua orang sibuk menyiapkan tugasan dan amanah yang telah diberikan penyelia masing-masing barulah tercapai impian yakni dengan kurniaan bonus yang melimpah ruah, aku juga tidak terkecuali.

Baiklah kalau hendak diceritakan tentang kerja memang membosankan dan sudah tentu sampai muka surat dua pun belum tentu habis. Kita akan teruskan penceritaan ini, masih lagi dari skop kehidupan, kehidupan aku sebagai seorang "Dada" dan isteriku. Alhamdulilah kini baby aku berusia 9 minggu dan masih "Steady" didalam kandungan ibunya, orang tua-tua cakap sedang berehat-rehat di alam rahim. Cuma apa yang agak mengerikan adalah "Penangan Pengidaman Wanita Mengandung" atau dalam bahasa pendeknya (P.P.W.M). Boleh mendatangkan kebengkokkan pada kocek Dada. Aku agak terkejut jugak dengan selera dan sikap emosinya yang sukar diramal. Kadang-kadang terasa ingin aku tangankan tetapi apakan daya, aku seorang Dada yang baik. Oleh itu aku tenang~

Kadar kewangan yang semakin merundum membuatkan aku sukar tidur lena dimalam hari. Andai aku tidur pastinya akan meleleh air liuh basi pada keesokan harinya. Posisi tidurku yang agak agresif membuatkan isteriku sering mengejutku pada pukul 3-4pagi. Aku meronta didalam lenaku. Senang cakap tidur "Gila Babi". Mengikut kajian pakar anatomi badan, sindrom ini berlaku ekoran badan dan minda pengguna berada dalam keadaan yang stress dan dalam bahasa paranormalnya roh tidak sempat memasuki badan atau mungkin roh meronta-ronta inginkan sesuatu.

Sebagai seorang Dada yang baik, aku turutkan segala permintaan dan hajat isteriku. Sungguhpun apabila aku selak beg kulit Fossil ku cuma tinggal sekadar apa yang ada namun aku usaha untuk memenuhi kehendaknya. Apa yang membimbangkan ku adalah bagaimana aku harus lalui situasi sebegini. Aku kadang kala ada membuat bercaturan dan berfikir mengenai kemampuan dan kebolehan diri aku ini, cuma agaknya aku masih belum menemui "Tune" nya lagi. Banyak aktiviti yang aku cuba kurangkan kos bagi menampung perbelanjaan isi rumah ini, sebagai contoh kini aku sudah mula menghisap "Harvest" dan tidak menghisap Pallmall. Perbelanjaan seperti minum petang telah aku kurangkan di tempat bekerja. Malah aktiviti luaran seperti bersosial dengan kawan-kawan juga telah aku kurangkan akan tetapi masih belum cukup untuk menampung perbelanjaan.

Mungkin aku harus membuat kerja sambilan dengan menjual Dadah..Dadah!!!???. Aku bergurau, diharap para pembaca jangan sentap. Tidak mungkin aku akan membuat kerja bodoh tersebut. Maksud aku disini adalah kerja sambilan selepas aku tamat kerja harian dipejabatku. Aku telah memohon keizinan kepada isteriku tapi dia seperti tidak merestuinya. Dari mimik wajahnya aku tahu dia rasa kesihan melihat aku. Apa boleh buat sayang, kehidupan harus diteruskan. Dada akan berusaha untuk memberikan yang terbaik buat masa ini selagi ada kekuatan dihati.

Huuuaaaarrrgghhhhhh...

Melihat jam hadiah perkahwinan di dinding bilik menandakan waktu sudah lewat malam. Aku rasa aku harus berhenti bercerita disini. Esok aku mempunyai tugasan yang agak penting untuk diselesaikan di pejabat dan harus bersedia untuk segala kemungkinan. Sekian sahajalah yang dapat Dada kongsikan dalam sesi penceritaan kali ini. Diharap kita sama-sama akan maju jaya dalam kehidupan. Bak kata Saintis gila di masjid Ar-Rahman, Depan Universiti Melaya waktu sembahyang Jumaat masa aku sekolah dulu.

"Yaa Bang, Yaa Adik, Yaa Tuan, Yaa Sheikh"
"Yang Jauh Kita Dekatkan Yang Dekat Kita Rapatkan"
"Saya Punyai Ubat..."
"Ubat Apa?..."
"Ubat Apa Adik, Abang, Kakak, Pakcik, Makcik?..."
"..............................."

Dia diam seketika, agak dalam 2-3 minit juga aku dan jemaah-jemaah islam lain tunggu perihal ubat yang dia ingin sebut. 

".............................."

Kita semua tunggu laa dengan penuh harapan, aku dan kawan aku pun tolak-tolak sebab berdebar nak tengok karenah saintis gila ini.

".............................."

Dia masih berdiam diri, lalu azan berkumandang untuk kali kedua menandakan masuk waktu solat.

"Yaaa...Marilah Kita Berjemaah Bersama-sama"....kata Saintis Gila tersebut. Kemudian Saintis gila tersebut pergi meninggalkan kami semua kebingungan ????...????...

Tuesday, September 25, 2012

Baby Check Up - Part 2


Terima kasih TNB kerana sudi membayar dan menanggung kos rawatan isteri ku. Amin, aku amat bersyukur kerana bekerja dengan syarikat yang prihatin terhadapan pekerjanya. Berbalik kepada cerita diatas, setelah pulang dari kerja dan mandi aku menemani isteriku untuk pergi ke Klinik Segara bertemu doktor Paramjit untuk membuat pemeriksaan terhadap kandungan anak kami yang kini telah pun berusia 7 minggu. Ini adalah pemeriksaan kali kedua yang telah kami lakukan dibawah panel TNB.


Setibanya di klinik, doktor Paramjit yang ingin kami temui sedang makan malam dan kami diminta untuk tunggu sebentar kata jururawat klinik tersebut. Hampir 15 minit kami menunggu sambil membaca majalah-majalah keluarga, seni hiasan, pemakanan dan lain lain yang usianya hampir 5 tahun. Boleh tahan juga klinik ni menghidangkan bahan bacaan yang telah tamat tempoh untuk santapan pesakit mereka. Apa boleh buat, kita sebagai rakyat Malaysia mudah ditindas. Apa yang aku mengarut ini. Akibat penat bekerja dan masih tidak berpeluang berehat, aku pun melelapkan mata dikerusi panjang klinik tersebut.

"Nik Nurfarizan..."
"Nik Nurfarizan..."

Kedengaran suara sayup-sayup bergema, rupanya sudah tiba giliran isteri ku masuk bertemu doktor Paramjit. Doktor Paramjit orangnya tidaklah terlalu hensem atau kelakar sama juga macam Benggali Malaysia lain, cuma apa yang membuatkan aku rasa dia sangat menarik adalah Jam tangan miliknya yakni "TISSOT", sememangnya memukau jiwa lelaki ini. Selain dari itu Pen Parker yang digunakan olehnya menulis laporan pesakit, itu juga aku rasakan amat menarik. Biasalah doktor, duit banyak mesti mampu untuk memiliki jam dan pen mahal kata ku didalam hati.

Kemudian kami telah kedalam sebuah bilik khas untuk sesi "Scanning" perut bagi tujuan melihat perkembangan bayi kami. Losyen telah di sapukan diatas perut isteri ku dan apa yang dapat aku fikirkan ketika ini adalah,

"Ya Allah ampunilah dosa aku dan isteri kerana sesungguhnya aku telah memperlihatkan tubuh isteriku (Perut) kepada lelaki bukan muhrimnya. Ampunilah aku."

Doktor Paramjit telah menggunakan sebuah alat imbasan dan mengerak-gerakan di atas perut isteri ku sambil matanya melihat skrin. Kami pun tenang sambil melihat dan menunggu apa tindakan doktor seterusnya. Cari punya cari akhirnya doktor bertemu imbasan bayi ku yang agak kecil lagi dan masih tidak ketara. Aku masih tidak dapat pastikan almaklumlah aku bukannya "Kepujian dalam Medic". Berikut merupakan imbasan yang telah dibuat.

(7 Minggu)
Biarpun gambaran melalui imbasan tidak kelihatan namun aku masih rasa bersyukur kerana aku kini akan menjadi "DaDa". Cuma apa yang membimbangkan aku adalah melalui imbasan tersebut, apa yang dapat dikesan oleh doktor Paramjit selain kandungan bayi adalah "Cyst" atau dalam bahasa saintifiknya ketumbuhan berupa air yang kelihatan di dalam bahagian rahim isteriku yang boleh menyebabkan benjolan. Isteri ku mengatakan yang ianya tidak sakit atau bengkak dan tiada tanda-tanda simptom kanser atau yang sebaliknya.

Doktor juga mengatakan "Cyst" adalah perkara biasa yang wujud dalam rahim perempuan. Namun perkara itu membuatkan aku tidak senang duduk dan bekerja. Doktor Paramjit juga telah mengeluarkan "Open Letter" untuk aku pergi merujuk kebahagian "Gynaechologist" di mana-mana hospital bagi mendapatkan khidmat pakar runding dan nasihat. Di sana berkemungkinan mereka akan lebih mengetahui tindakan dan langkah yang harus dilakukan bagi kesejahteraan kami. Ini bererti pihak klinik sudah selesai dimana pemeriksaan selanjutnya harus diberikan oleh pihak hospital pula.

Aku harap segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan urusan ku nanti. Almaklumlah aku ini seorang DaDa yang bergaji agak rendah sebenarnya oleh itu aku agak risau dengan kadar kewangan apabila berlaku keadaan yang tidak diingini. Walau apa pun aku tetap akan berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk isteri dan anak ku. Amin.

Sunday, September 16, 2012

From "Dada To Be" With Love




"Alhamdulilah syukur kepada allah s.w.t kerana memberiku zuriat yang bersih dan halal hasil dari perkahwinan yang direstui kedua belah keluarga."

Tanpaku sedari menjelang usia 2 bulan tempoh perkahwinan ku bersama isteri tercinta aku dikejutkan dengan berita yang isteri ku sudah mengandung 5 minggu. Tiada apa yang menggembirakan buat diriku selain mengucapkan syukur dan berdoa kepadanya. Insyallah jikalau mengikut kiraan dan tafsiran yang dibuat oleh pakar sakit puan yang baru-baru ini kami lawati di klinik Segara, Subang Jaya berkemungkinan aku akan menjadi "dada" menjelang bulan Mei 2013 tahun hadapan.

"Dada" yaa..itulah gelaran kepada ku yang harus dipanggil oleh anakku kelak. Bagiku panggilan itu teramat manja dan comel sesuai untuk aku dan dia esok. Tidak kiralah zuriat itu lelaki atau perempuan aku tetap menerima dengan penuh kasih sayang. Alhamdulilah.

Mulanya isteri ku mula rasa tidak sedap badan dimana dia mengalami simpton sakit belakang dan bahagian perut tiap-tiap hari, dan jika dilihat berlaku perubahan dari segi fizikalnya dimana buah dada dan punggungnya bertambah besar dari saiz normal. Oleh itu aku mula syak yang si dia mengandung, apa yang menambahkan lagi kekuatan sangkaan ini adalah kitaran haid yang sepatutnya datang masih tidak datang dan sudah lewat. Justeru itu aku dan dia terus ke farmasi berdekatan untuk membeli alat menguji kehamilan. Lebih kurang Rm 9.90 sahaja lalu pulang kerumah dan mencuba keesokkan harinya. Pada esok harinya, kami menguji alat tersebut dengan minitiskan beberapa titis air kencing dan hasilnya adalah Positif!!!.

Namun kami masih lagi tidak berpuas hati lalu terus ke farmasi sekali lagi untuk membeli sebuah lagi alat menguji kehamilan berharga Rm5, murah sedikit kerana diberi diskaun dan ianya nampak lebih baik dari yang semalam. Pada malam itu kami mencuba sekali lagi dan tidak dapat dinafikan hasilnya dimana ia masih lagi positif. Alhamdulillah. Bagi mendapatkan rawatan dan nasihat dari pakar sakit puan, selang 4 hari selepas tarikh ujian sendiri yang kami lakukan aku membawa isteriku ke klinik berhampiran rumah ini untuk mengetahui hal kehamilan dengan lebih lanjut. Aku bersyukur kerana aku bekerja dibawah syarikat berprestij yang menangung kos sakit pekerjanya kerana segala rawatan akan dibiayai syarikat ku.

Merungkap kembali dizaman permulaan percintaan dan perhubunganku dengan Si dia. Aku sebenarnya sudah sedia dan redha andai kata tidak dikurniakan zuriat. Ini berlaku mungkin kerana faktor diri ku juga, aku seorang perokok tegar, aku juga menjalani proses pengambilan ubat-ubatan hypertensi (darah tinggi) dan aku juga seorang yang gemuk. Ditakdirkan pula aku mudah jatuh cinta dengan wanita yang lebih berusia dari ku dalam lingkungan 30an. Potensi untuk proses penghamilan memang agar sukar diramal andai berlaku perkahwinan.

Namun demikian ku ketepikan kesemua andaian-andaian tersebut dan memilih untuk meneruskan kehidupan dengan pilihan ku. Sedar tak sedar diawal perkahwinan aku mula mendapat kekuatan mentaliti dan langkah positif untuk mengharungi sebuah kehidupan. Dimana sejarah hidup dan keturunan kami berdua merupakan dari jenis yang banyak anak. Lihat sahaja dari bapa mertuaku sudah berusia 59 tahun masih lagi mempunyai anak kecil di dalam perut isteri mudanya.

Lalu kekuatan tersebut lahir secara positifnya. Kini hasil dari penelitian tersebut terbukti yang ianya benar dimana isteriku sudah mengandung. Banyak juga rakan-rakan dipejabat yang menyuruhku mencuba produk-produk dan ubat-ubatan yang menjurus kepada rangsangan sexsual lelaki bagi kekuatan kelamin mereka namun aku tolak. Bukan kerana menafikan produk tersebut atau memperkecilkan usaha mereka untuk membantu, namun pada ku, aku hanya ingin memberikan yang terbaik melalui usaha dan kekuatan diriku sendiri dahulu. Mungkin dilain masa akan ku cuba. Siapa tahu.

Sekarang aku sudah boleh membuat percaturan dalam hal-hal berkaitan pengurusan barang-barang bayi. Perbelanjaan bayi boleh dikatakan agak besar oleh itu harus berjaga-jaga. Setiap ibubapa akan melaluinya. Hari berganti hari, dan aku semakin tidak sabar melalui hari-hari ku ke arah menjadi seorang "dada" kelak. Yaa Allah semoga kau permudahkan dan selamatkanlah kandungan isteri ku ini. Amin.

-Dada To Be

posted from Bloggeroid

Sunday, August 19, 2012

Syawal Dan Gadis Palsu...


Fuuuuuuhhhh~

Sedutan asap ku tarik dalam sambil mata merenung jauh ke luar pagar dan kawasan sekitar halaman rumah nenek ku. Rintik hujan yang jatuh ke bumi ditambah dengan tiupan sang bayu yang amat menyegarkan badan dan mententeramkan jiwa membuatkan fikiran ku melayang jauh~

Allahu akbar..
Allahu akbar..
Allahu akbar..
Laailah haillaallahu allahu akbar..
Allahu akbar kabiraw illham..

Takbir bergema menusuk rongga telinga dipagi hari, setelah selesai aku dan isteriku mandi sunat Aidilfitri yang menjadi tuntutan ibadah lalu kami terus ke Masjid Darul Ehsan, Sek 15 Subang Jaya untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Hari ini telah masuk bulan Syawal didalam kalendar islam menandakan tibanya hari yang dinanti-nantikan umat islam seluruh dunia yakni menyambut Aidilfitri. Alhamdulilah, selesai aku menunaikan solat sunat Aidilfitir tahun ini bersama seorang isteri. Kemudian kami pun bergegas pulang ke rumah bonda dan ayahandaku di Sentul untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Pelbagai masakan yang menanti untuk dijamah telah disediakan oleh Bonda tercinta, juadah yang wajib disajikan seperti Nasi Impit, Rendang, Sambal Goreng, Kuah kacang dan tidak lupa juga menu yang agak istimewa pada tahun ini Nasi Beriyani. Aku menyantap dengan penuh rasa gembira dan bersyukur kerana dikurniakan rezeki dipagi hari raya. Selesai menjamu selera tiba masa untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama keluarga dan sesi memberikan duit raya kepada ibu, ayah dan adikku, mereka gembira menerima sekeping "Angpow" yang tidak sebanyak mana pun isinya namun seikhlas hati ku berikan. Tepat jam 11.00am kami sekeluarga bergerak ke Bukit Naga, Shah Alam untuk meneruskan program hari ini yakni beraya dirumah nenek.

Fuuuuuuuhhhh~

Kini masuk batang ke dua aku menyedut dan menikmati aroma sebatang rokok yang dibeli dari kedai runcit semalam. Fikiran ku semakin jauh, jauh hingga sampai ke 2 tahun lepas. Yaa..aku masih ingat dan tidak mungkin ku lupa. Dimana hati ini yang seharusnya gembira di Syawal itu telah diragut dan dihiris dalam sedalamnya oleh seorang gadis yang palsu. Hari yang sepatutnya ceria dan meriah bertukar menjadi gelap gelita buat diri ini dimana tamatnya sebuah harapan yang belum pasti akan akhirnya. Aku telah disingkirkan dan dibuang jauh dek kerana cintanya yang palsu dan tidak suci. Aku masih ingat kata-kata yang merobek sebuah pengharapan dalam sebuah perhubungan, retak mahligai yang cuba ku bina oleh orang ketiga. Bagi ku Syawal tiada makna selepas ini. Apa yang tinggal hanya taburan kaca yang menusuk.

Hari itu membuatkan aku rasa letih dan tidak bersemangat, juadah yang menyelerakan membuatkan aku loya dan tidak lalu untuk menyantap. Makcik-makcik ku seolah-olah tahu apa yang telah melanda diri ini namun tiada apa yang dapat mereka lakukan. Hanya kata-kata semangat dan motivasi yang boleh diberikan kepadaku namun umpama "Masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri". Aku hanya mampu berdiam diri meratapi nasib dan tidak dapat menerima kenyataan. Biasalah seorang lelaki hanya akan berdiam diri jika terdapat 2 tanda iaitu putus cinta dan mengalami kekalahan.

Bagi ku dia terlalu kejam, kejam kerana sanggup berlaku demikian. Tetapi aku faham yang sebenarnya dia tidak mahu hidup dalam kepura-puraan. Dia tidak sanggup untuk memberi sebuah pengharapan kerana dia tahu suatu hari dia akan merampasnya kembali. Aku sebagai lelaki sejati dan berfikiran normal harus menerima kekalah ini. Aku redha. Cuma apa yang tidak aku tidak faham kenapakah pada hari dan situasi seperti Syawal ini harus berlaku kekecewaan, kenapa tidak dipilih hari lain?. Bukankah tindakan itu lebih mulia.

"Abg..."
"Abg..."
"Marilah masuk rumah.."
"Izan dengan mak sedang melihat album lama masa abg kecil dahulu..."

"Huuuuh..."
(*Anganku tersentak)

Aku kenal suara manja itu. Aku kangen sama suara itu. Astaghfirullah...rupanya aku hanyut dibuai lamunan di halaman rumah nenekku setelah selesai menjamu makan tengahhari. Fikiranku kembali fokus dan minda mula berjalan. Aku hanya mampu tersenyum dan gembira, rupanya isteri yang dicintai memanggilku untuk masuk kedalam bersantai bersama keluarga melihat album-album lama yang disimpan oleh nenekku. Rupanya baru aku sedari yang aku kini tidak keseorangan tidak berada dalam kegelapan lagi, aku sudah berkahwin dan memiliki cinta hati. Syukur alhamdulilah, ku panjatkan doa terhadapmu kerana masih memberiku ruang dan harapan. Ini kali pertama aku menyambut hari raya bersama seorang isteri yang sememangnya bukan gadis palsu.

"Ok sayang...Abg masuk..."

Ada pepatah mengatakan cinta tidak akan datang kalau tidak dicari, ada juga yang mengatakan patah tumbuh hilang berganti. Namun apa juga pepatah yang disebut, tidak akan berguna andai jodoh dan takdir masih belum ditentukan. Kita manusia yang hina hanya dapat merancang dan hanya yang maha kuasa menentukan. Apa yang kita perlu tahu hanyalah segala yang ditentukan adalah yang terbaik buat kita. Aku akan kedalam untuk menikmati Adilfitri ini meluang masa bersama isteri dan keluargaku sekian apa yang dapat aku karangkan untuk paparan Patah Hati Inc. Akhir kata ku susun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada seluruh pembaca.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012"