Sunday, December 25, 2011

Andai Ku Tahu


Seandainya aku dapat meramal akan perihal masa depan sudah pasti kamu tidak akan aku lepaskan, pasti hidup ku akan berubah. Sememangnya aku manusia biasa yang lemah dalam mencari erti kehidupan. Melihat perubahan dan apa yang telah dilakukan, terasa diri ini begitu lemah dan naif. Seandainya aku tahu...

Bukan niatku menyalahkan sesiapa, menuding jari kepada semua, cuma ada waktu aku bersendirian bermuhasabah diri dengan hanya bertemankan "Curut" dan "Coke" membuatkan aku terfikir, betapa singkatnya pemikiran dan pemandangan aku selaku hamba allah yang memangku cap mohor "Manusia Biasa"...

Agak lama aku tidak menulis diruangkan ini, agak lama aku menyimpan sketsa ini dan agak lama juga aku tidak menyampaikan ulasan buah cerita kepada yang sudi. Ini kerana sepanjang pemerhatian dan proses menjalani rutin kehidupan membuatkan aku ingin menulis "tentang dia".

Betullah orang cakap kita tidak akan dapat membeli cinta kerana cinta itu suci dan bersih. Kau boleh menghabiskan ribuan ringgit untuk mendapatkan kasih sayang, namun dengan harga sesen pun blum pasti kau dapat memiliki cinta. Ini kisah benar, dan aku telah pun laluinya. Namun aku tidak pernah menyalahkan sesiapa dan menyesali apa yang telah aku lakukan, ini kerana sememangnya aku memilih laluan sebegitu.

Dikala kesepian dan kegelapan menyelubungi hidup ku ketika ini, muncul sinaran yang aku rasakan dapat menerangi perjalanan ini untuk sampai ke matlamatnya. Namun aku tahu sinaran itu hanya dapat bertahan seketika, hanya sekadar suluhan yang mendorong ku untuk meneruskan perjalanan panjang aku ini. Entah mengapa kadang kala kehangatan sinaran itu dapat aku rasakan seolah-olah ia milikku. Mungkin dek kerana keikhlasan dan kesejatiannya.

Ibarat "Kalkatu yang tergoda oleh Sinaran lampu" ketika hari hujan, begitulah situasi yang dapat digambarkan ketika ini. Diri yang kecil mahu merebut sinaran yang hangat milik Si "Tuan Rumah", apalah daya...silap langkah rebahlah aku menyembah bumi. Walaupun nikmat yang kecapi hanya seketika, namun asal hati ini dapat merasai secubit kasih dan cinta sudah memadai. Dapatlah kiranya memberi bekalan untuk perjalanan ku ini.

Aku percaya, suatu hari nanti pasti akan ada sinaran yang sememangnya milik aku sendiri, dimana sepanjang hayat dapat aku rasakan kehangatannya.

2 comments: