Wednesday, May 21, 2014

Happy Birthday Luth Aidan (1 Year) - Part 1


Hanya tinggal beberapa jam lagi detik 12:00 malam dan akan masuk satu tarikh keramat yakni 22.05.2014, aku seorang diri didalam bilik sambil menghembuskan kepulan asap rokok terus ke luar jendela. Penat siang tadi masih terasa ekoran penat berkerja di pejabat tadi namun satu tarikan nafas yang panjang dilakukan sambil kepala berkhayal mengenangkan peristiwa 1 tahun sudah. Ya, malam ini aku harus bermusahabah diri dan menyiapkan blog Dada's Inc. ini.


Fikiran aku melayang kembali ke masa 1 tahun yang lalu disaat aku bergelar seorang ayah, cepat betul masa berlalu tanpa aku sedari. Kalau diikutkan pada tahun lepas, awal pagi esok aku akan membawa isteriku ke PPUM untuk bersalin. Pada fikiran sempitku mungkin hanya hantar isteri masuk dewan pembedahan kemudian tunggu sekejap diluar dan apabila selesai proses melahirkan bayi maka aku pun boleh pulang awal dari hospital, ternyata itu semua jangkaan palsu masakan tidak aku diuji pelbagai ujian dari penat nak menunggu pagi ke malam, debaran jantung yang kencang, fikiran kacau, sedih bercampur gembira dan Si Luth yang tidak mahu keluar setelah 2 kali proses "Induce" serta pelbagai lagi dugaan. Semua diatas mengajar aku 1 perkara, Kekuatan....

Baiklah, sebenarnya aku tidak mahu bercerita tentang kejadian yang telah berlalu dan jika anda semua ingin mengetahui cerita tersebut bolehlah merujuk kembali cerita-cerita yang lepas di blog ini. Kali ini aku ingin bercerita tentang suka dan duka aku sepanjang membesarkan insan yang paling aku sayang iaitu Luth Aidan @ Dada's Champ. Hari ini genap 1 tahun usianya, besar sudah anak aku ini. Kacak, bijak dan cergas. Macam-macam pengalaman yang aku lalui antara yang masih segar dalam kepala ini adalah sewaktu isteriku habis pantang dan mula berkerja. Luth Aidan tidak aku hantar ke pusat jagaan kanak-kanak ekoran takot dengan kes-kes penderaan oleh itu terpaksalah mak mertua aku menjaga beliau dari kecil hingga 9 bulan dan kini mak kandung aku pula yang menjaga beliau ekoran mak mertuaku tidak larat. Mohon ampun dan maaf, sebenarnya aku tidak mahu menyusahkan kedua-dua mak namun akhirnya aku terpaksa sebab kami kurang mampu untuk mengupah penjaga.

Cian  Tido Dalam Kereta Tetapi Tetap Enjoy
Dada dan mama bukan orang senang, gaji kecil dan cukup-cukup sahaja belanja makan dan pakai. Rumah sendiri pun masih belum ada sekarang masih menumpang dirumah keluarga, terpaksalah Luth Aidan terima. Dada janji pada Luth Aidan, in sha allah satu hari nanti hidup kita sekeluarga pasti berubah. Walau apa pun Dada bersyukur kerana baik kekuarga sendiri atau kekuarga mertua sentiasa menerima kita dan tidak pernah sekali pun mempersoal serta mengharapkan balasan dari kita, cuma Dada yang malu dan rasa tidak dapat sepenuhnya menjalankan kewajipan ke atas Luth Aidan dan mama dengan memberikan segalanya.

Luth makin besar dan bijak, aku gembira melihat anak membesar dan pintar. Syukur kehadrat Allah swt diatas kurniaan rezeki yang tidak terhingga ini, terus terang aku katakan sehingga hari ini aku masih bertanya kepada diriku apakah sebab aku menerima kurniaan semua ini. Aku bukan hamba yang taat dan soleh, ramai lagi diluar sana yang baik-baik dan taat padanya namun jalan cerita mereka agak kurang menarik, ada yang masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun sudah bertahun berumahtangga, dikawal ketat pergerak oleh si isteri, tidak sebulu walaupun satu keluarga serta macam-macam lagi. Kadang-kadang aku kasihan dan bersimpati kepada mereka. Sudahlah!, aku tidak mahu bercakap tentang perkara ini sebab "Siapa Aku" untuk menilai semua ini. Walau apa pun aku tetap bersyukur.

Mama & Dada Shopping di GM Klang...
Sekarang Dada rasa hidup Dada telah lengkap, bila Luth Aidan dan mama ada disisi sepanjang hari-hari Dada. Rasa tidak perlu apa pun untuk melengkapkannya lagi. Kadang-kadang bila Dada bersama dengan kawan-kawan bersembang dan bercerita, normal bagi kami lelaki bercakap-cakap pasal perempuan tentang tubuh mereka, kecantikan mereka dan pelbagai lagi. Ada yang lebih teruk sudah bergelar suami masih ingin mencari kenalan di WeChat dan Whatsapp, bertukar-tukar ID serta melayan apa yang Dada rasa tidak patut dilakukan pada taraf mereka sekarang. Dada bukan ingin tunjuk baik, tetapi "Gentle" Dada cakap dulu Dada lagi jahat. Kalau setakat main perempuan ini hanya dengan ber "CitCat" pun Dada boleh bogel dan tanggalkan pakaian perempuan tersebut, apatah lagi bila Dada berbicara dan "Karen" dimata mereka. Ada koleksi mereka, siap ber "folder-Folder" Dada simpan (*dah delete laa). Hmm....tapi itu kisah dulu-dulu. Kesimpulannya, Dada rasa ini semua tidak betul, zaman kita dah berlalu, cukup-cukuplah berilah peluang kepada generasi baru pula.

Gua Dah Nazak!!!...
Cian Anak Dada, Sakit Rindukan Dada...
Satu lagi yang meninggalkan kesan yang dalam pada diri aku adalah ketika keluarga aku diuji dengan sakit yang agak kritikal dimana aku di sahkan menghidap "Influenza A" tahap pertama, di ketika aku sungguh tidak larat sehingga nak bernafas pun susah dan terasa nyawaku di penghujungan. Anak ditinggal, isteri ditinggal, keluarga ditinggal, memang sadis hidupku ketika itu. Puncanya aku tidak tahu, paginya elok sahaja namun menjelang malam sakit itu bagai tiba mencengkam kalbu. Apa lagi ke hospital lokasi dituju, SJMC terpanggil untuk merawatku namun ekoran bilik penuh ketika itu maka aku dipindahkan ke PPUM, buat pertama kalinya aku rasa menaiki Ambulans. Isteri aku dari awal hingga akhir setia menemani ku di katil perbaringan. Terubat hati sedikit bila melihat si dia disisi, doktor mengesahkan aku positif lalu dikuarantin di sana buat seketika dan harus menjalani proses tersebut dirumah ibuku tanpa bisa tinggal bersama anak kecil dan isteri. Kecewa dan sedih mengenangkan perpisahan yg bakal berlaku itu. Kesedihan itu bertambah apabila sejurus isteriku pulang ke rumah beliau telah dijangkiti virus selsema juga, apabila beliau selsema maka anak yang masih menyusu badan juga secara automatiknya akan terkena jangkitan. Ya Allah... berat sungguh dugaan mu ini. Sudahlah terpisah selama hampir 2 minggu, aku tidak dapat menjaga berjumpa anak dan isteriku yang sakit.

Fuuhhh...*Bakar sebatang rokok lagi...


Main "Cak-Cak" Di OLD TOWN WHITE COFFEE...
Aku pasti anda semua akan terfikir dan tertanya-tanya kenapa kesemua cerita diatas merupakan cerita yang menyayat hati dan sedih, bukankah aku sepatutnya cerita yang perkara yang menggembirakan sepanjang 1 tahun yang lalu?. Sebenarnya jika ingin aku sampaikan terlalu banyak yang indah-indah belaka. Bagi diriku semuanya indah hari demi hari sebagai contoh bila anak aku mula berjalan, berlari, makan, senyum dan bercakap. Biarlah itu semua menjadi kenangan pada diri aku hingga sewaktu aku sedang mengarang cerita ini mulutku tersenyum mengenangkan karenah keluargaku saban hari yang sungguh indah. Cuma apa yang cuba aku kongsikan di atas adalah sedikit kenangan dan pengalaman pahit yang terkesan pada diri ini.

Gambar Masa Makan Pizza..Mmmmmm
Akhir kata, perjalanan aku sekeluarga masih jauh kehadapan dan aku tidak dapat melangkah kebelakang untuk memperbetulkan segala ke tidak sempurnaan dalam hidup. Apa yang boleh aku pesan kepada kamu diluar adalah sayangilah keluarga dan persekitaran kamu kerana sesungguhnya kita hidup didunia ini hanya untuk satu matlamat iaitu menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah swt kepada kita. Tanggungjawab seperti diri, keluarga, kawan-kawan dan persekitaran. Oleh itu sekian sahaja karangan cerita untuk kali ini, Oh Ya...esok aku akan mengadakan majlis sambutan harijadi Luth Aidan secara kecil-kecilan di rumah mertuaku dan ada bacaan yasin serta doa-doa dari pasukan Muslimah Subang pimpinan ibu mertuaku dan pada 28-30hb Mei ini, in sha allah aku sekeluarga akan ke Swiss Garden Damai Laut, Pangkor untuk percutian serta sambutan majlis yang sebenarnya. Sila tunggu cerita akan datang ok.

-Assalamualaikum wbt


Yahuu!!!...Boleh Memancing

No comments:

Post a Comment